SEORANG pelajar Kolej Vokasional Kota Tinggi dan seorang warga emas maut, selepas kereta yang dinaiki bertembung. FOTO ihsan Bomba
Kota Tinggi: Pelajar Kolej Vokasional Kota Tinggi dan warga emas maut selepas kereta dinaiki bertembung dalam kemalangan di Kilometer 10.3, Jalan Kota Tinggi-Kluang di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 8 pagi itu, mangsa, Nurasyraf Afif Abdul Ghafar, 20, yang memandu Perodua Kancil dan penumpang hadapan Nissan Almera, Zainab Abdullah, 68, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala serta badan.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kemalangan membabitkan Perodua Kancil dipandu Nurasyraf Afif bertembung dengan Nissan Almera dipandu lelaki warga emas berusia 71 tahun bersama penumpang yang juga isterinya, berusia 68 tahun.
"Hasil siasatan awal mendapati, kereta dipandu Nurasyraf Afif masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Nissan Almera.
"Akibatnya, Nurasyraf Afif dan penumpang hadapan Nissan Almera maut di tempat kejadian manakala pemandunya patah rusuk serta masih dirawat di Unit Kecemasan Hospital Kota Tinggi," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Yusof berkata, kes masih dalam siasatan polis di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Difahamkan, krjadian berlaku ketika Nurasyraf Afif dalam perjalanan dari Tenggaroh ke kolej, manakala pasangan berkenaan dalam perjalanan pulang ke Felda Sungai Sibol di sini selepas menghantar cucu lelaki mereka ke kolej sama.
|