ANTARA kenderaan terbabit kemalangan itu. FOTO Ihsan Polis
Seremban: Dua maut, manakala tiga lagi parah dalam kemalangan membabitkan dua motosikal yang dirempuh sebuah kereta di Jalan Persiaran Senawang 1, dekat persimpangan lampu isyarat Matahari Heights di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, dalam kejadian 8.30 malam itu, penunggang dan pembonceng Modenas Kriss, masing-masing berumur 15 dan 16 tahun, disahkan maut di lokasi kejadian.
"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah Honda Jazz dipandu seorang lelaki berumur 18 tahun bersama seorang penumpang lelaki berusia 17 tahun, dari arah Senawang menuju ke Paroi.
"Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu Honda Jazz dipercayai gagal berhenti di lampu isyarat merah lalu melanggar dua motosikal di sebelah kiri," katanya.
Jelas beliau, akibat rempuhan itu, penunggang dan pembonceng Modenas Kriss yang parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Manakala, pemandu dan penumpang Honda Jazz serta penunggang dan pembonceng motosikal Honda Vario, parah, dan dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban untuk rawatan lanjut.
"Kedua-dua mangsa maut dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Rembau untuk urusan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian," katanya.
Mohamad Hatta berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.
"Individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat, G Sankar di talian 014-6000353 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran," katanya.
|