KOTA BHARU: Lebih 70,000 lembu seludup direkodkan di empat negeri bersempadan Thailand termasuk Kelantan sepanjang tempoh tahun lalu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata jumlah berkenaan adalah tinggi yang menyebabkan penternak di negeri sempadan terjejas teruk.
"Sejak dahulu saya tekankan kepada agensi yang berkenaan supaya bertindak tegas bagi mengekang masalah ini kerana kita tidak tahu lembu yang dibawa masuk berpenyakit atau sebaliknya.
"Pada masa sama, penternak kita terjejas teruk kerana tidak mampu bersaing dari segi harga. Lembu dari sana lebih murah sehingga daging di Kelantan pun dijual murah hanya sekitar RM25 sekilogram.
"Justeru, masalah ini perlu ditangani dan diatasi pihak berkenaan supaya ia tidak menjadi semakin teruk," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Berbuka Bersama Warga KPKM, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Khalid Abdul Samad.
Pada masa sama, beliau memberi jaminan bekalan daging mencukupi menjelang Aidilfitri.
Sumber – BH
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register