Edited by FOTHER-MUCKER at 25-12-2025 09:23 PM
Umur 30 nak dapat adik baharu KIT ujian yang mengesahkan kehamilan Ayati. AYATI menunjukkan buku rekod kehamilannya.
Kuala Terengganu: "Emak terkejut, abah pun tak sangka tetapi saya teruja kerana teringin nak dapat adik baru," kata Nur Amira Bilsabri ketika berkongsi kisah ibunya, Ayati Hussin yang kini hamil dalam usia 51 tahun.
Kisah itu mendapat perhatian warganet selepas Nur Amira berkongsi video ibunya menjalani pemeriksaan kandungan hingga meraih lebih 1.6 juta tontonan.
Berkongsi kisah itu, Nur Amira, 30, berkata, dia dapat tahu berita gembira itu selepas ibu sendiri memberitahunya empat hari lalu.
"Waktu jumpa emak baru-baru ini, emak beri saya kit kehamilan yang sebelum itu digulung dalam tisu. Emak minta tengok dan kemudian kami saling berpandangan. Jujurnya saya tak terkejut sebab sebelum ini emak pernah beberapa kali mengandung tetapi tak melekat," katanya.
Menurutnya, ibunya terkejut hingga ambil masa untuk berterus-terang dengan dia dan dua adiknya. "Emak kata dia ambil masa dua hingga tiga hari juga untuk kongsi mengenai kehamilannya dan sepanjang tempoh itu, dia banyak duduk dalam bilik.
"Emak tak tahu nak beritahu macam mana kerana takut anaknya tak terima sedangkan saya 'okay' saja. "Dia tak sangka kerana haidnya tidak teratur dan fikir sudah nak menopaus tetapi rupanya mengandung lagi. Sebagai anak, saya 'okay' saja dan kalau emak tak larat nak jaga (bayi) nanti, saya boleh bantu," katanya yang juga anak sulung.
Berhubung perkongsian di TikTok, Nur Amira berkata, niatnya sekadar berkongsi kegembiraan serta detik indah ibu dan bapa tiri, Suaat Mohamed, 61, yang bakal menimang cahaya mata.
Bagaimanapun, katanya, dia tidak sangka perkongsiannya tular hingga menerima komen bercampur baur daripada warganet. "Ramai yang mendoakan, jadi terima kasih saya ucapkan tetapi ada juga kecam dan sindir dengan kata emak dengan abah saya 'aktif' dan belum menopaus.
"Saya tak kisah apa pun pandangan orang kerana sebagai anak, saya gembira dan harap emak dengan kandungannya dalam keadaan baik.
"Buat masa ini, adik lelaki saya bantu jaga emak waktu abah keluar bekerja. Hujung bulan ini pun, emak ke klinik kesihatan untuk pemeriksaan dan setakat yang saya tahu, emak tak ada darah tinggi mahupun kencing manis," katanya.
|