Buka pejabat di Padang Serai bukan bermakna saya bertanding PRU16 di sini - Saifuddin
M Hifzuddin Ikhsan - Januari 17, 2026 @ 8:08am
KULIM: Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan belum membuat keputusan mengenai kerusi yang bakal ditandinginya pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Menteri Dalam Negeri itu berkata, tindakan membuka Pusat Khidmat Rakyat di Parlimen Padang Serai adalah bagi membolehkan rakyat di kawasan itu menerima pelbagai manfaat yang disediakan Kerajaan Persekutuan.
"Tidak, itu terlalu awal (tentukan kerusi).
Saya katakan tadi sebagai Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri saya ada pejabat di Kedah tapi di sana (Alor Setar), di sini Kedah selatan jadi (buka Pusat Khidmat) lebih mudah rakyat dapat akses.
"Saya boleh jadi bertanding (pilihan raya), boleh jadi tidak.
Boleh jadi di sini, boleh jadi tempat lain.
Jadi masih terbuka semua, saya tak ada sebut secara sah bahawa pembukaan Pusat Khidmat ini di sini maka saya bertanding," katanya selepas hadir Majlis Perasmian Pusat Khidmat Rakyat Padang Serai di sini, malam tadi.
Saifuddin sebelum ini pernah menang di kerusi Parlimen Kulim-Bandar Baharu, namun tewas pada PRU15.
Sementara itu, mengulas mengenai Mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah kelmarin, beliau berkata mesyuarat itu bertujuan memperkemas gerak kerja parti berkenaan.
Sebagai pembangkang, mereka bertanggungjawab bukan sekadar mengkritik kerajaan negeri, tetapi juga memberi penyelesaian kepada rakyat yang mempunyai masalah.
"Berbeza di Pusat, di Kedah kita adalah pembangkang.
Jadi kita perlu memainkan peranan efektif sebagai semak dan imbang, jadi perlu bermula dengan organisasi yang kemas dan maklumat tepat.
"Selepas tiga tahun sebagai Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah saya boleh monitor pencapaian projek Kerajaan Persekutuan, jika ada masalah berlaku kerana membabitkan kerajaan negeri, kita akan sampaikan," katanya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. - Foto fail NSTP
|