Sik: Lelaki yang melecur di muka dan badan ketika membakar sampah di tepi rumah di Kampung Batu Besar, di sini Khamis lalu meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital, hari ini.
Pemangku
Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Safuan Md Noor berkata, mangsa yang berusia 31 tahun itu disahkan meninggal dunia jam 11.30 pagi di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, hari ini.
Beliau berkata, polis menerima panggilan dari pihak HSB pada jam 10.30 pagi menyatakan bahawa mangsa yang dirawat di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) di HSB akibat melecur terbakar dirawat di hospital sejak semalam sudah meninggal dunia.
"Saksi iaitu bapa mangsa yang berusia 70 tahun pergi ke bahagian belakang rumah selepas terdengar orang menjerit meminta tolong sebelum mendapati api ketika itu sedang marak dan mangsa berada di tengah-tengah nyalaan api.
"Saksi berusaha menarik mangsa dan mendapati keseluruhan badan anaknya terbakar ketika mangsa sedang membakar sampah dan pakaian lama.
"Jiran kemudian menghubungi pihak bomba dan ambulans untuk membawa mangsa ke hospital, " katanya ketika dihubungi hari ini.
Safuan berkata, mangsa yang juga anak sulung dari dua beradik itu tidak bekerja dan tinggal dengan ibu bapanya serta adik perempuan di rumah berkenaan.
Katanya, mangsa didapati membakar daun-daun kering dan pakaian lama miliknya menggunakan minyak petrol sebelum sambaran api berlaku hingga menyebabkan melecur keseluruhan badan.
"Jarak antara tempat kejadian dengan rumah mangsa kira-kira 10 meter dan hasil siasatan tidak menemui apa-apa unsur jenayah atau khianat.
"Mangsa yang melecur 98 peratus di keseluruhan badan disahkan meninggal dunia di Wad ICU di Unit kebakaran HSB dan jenazah dibawa ke Jabatan Forensik HSB, di sini hari untuk tindakan lanjut dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki melecur di bahagian muka dan badan selepas disambar api ketika sedang membakar pakaian lama menggunakan petrol berhampiran rumahnya di Kampung Baru, Batu Besar, di sini Khamis lalu.