
RAMPAS: Sebahagian barangan yang dirampas semasa operasi terbabit.
KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah menahan 23 individu dan merampas ribuan peranti rokok elektronik, vape serta cecair e-liquid bernilai lebih RM635,000 menerusi Op Taring Alpha 3 yang dilaksanakan serentak di tujuh daerah di Sabah.
Operasi bersepadu dari jam 9 pagi hingga 6 petang Khamis itu melibatkan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan kekuatan seramai 170 pegawai serta anggota Komander Briged Sabah PGA, Senior Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, berkata operasi berkenaan dijalankan di Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Lahad Datu, Beluran, Keningau dan Semporna bagi memperkukuh penguatkuasaan terhadap penjualan dan pemilikan rokok elektronik, vape serta cecair e-liquid secara haram.
Menurutnya, hasil operasi membawa kepada penahanan 23 individu berusia antara 20 hingga 35 tahun, terdiri daripada 18 lelaki dan lima wanita, semuanya warga tempatan tanpa rekod jenayah lampau.
“Rampasan melibatkan 9,000 unit peranti rokok elektronik, 3,000 unit vape dan 1,915 unit cecair e-liquid dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM635,262,” katanya dalam kenyataan media di sini pada Sabtu.
Nor Omar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 10(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 bagi kesalahan pertama atau RM30,000 bagi kesalahan berulang, atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Beliau berkata, sebahagian kes turut disiasat mengikut Seksyen 15 akta sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM500 atau perintah khidmat masyarakat, selain siasatan di bawah Ordinan Perlesenan Perdagangan 1949 oleh PBT.
“Semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada agensi berkaitan untuk siasatan serta tindakan lanjut,” katanya.
Dalam pada itu, Nor Omar menegaskan komitmen berterusan pihak polis untuk membanteras aktiviti penyeludupan dan perniagaan haram di Sabah demi menjaga kepentingan kesihatan awam serta pematuhan undang-undang.
Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan penjualan dan pengedaran rokok elektronik, vape serta cecair e-liquid yang menyalahi undang-undang bagi membantu usaha penguatkuasaan.
Sumber : Utusan Borneo
|