'Jenazah Nadia Kesuma akan dikebumi di Jeddah, arwah memang mahu ke Makkah' - Suami
Oleh Audrey Dermawan - Januari 18, 2026 @ 11:59am

Suami Allahyarham Nadia Kesuma, Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah. NSTP/ Audrey Dermawan
GEORGETOWN: "Jenazah isteri saya, Allahyarham Nadia Kesuma akan dikebumikan di sana.
Kami tak akan bawa pulang jenazah ke tanah air sebab dari dulu, isteri sering melahirkan hasrat mahu ke Makkah, jadi kami tunaikan permintaannya," kata suami pelakon itu, Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah.
Beliau yang juga pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) ditemani anak perempuannya ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pagi ini, sebelum berlepas ke Kuala Lumpur untuk menaiki penerbangan ke Jeddah, Arab Saudi, bagi menguruskan kematian isterinya itu.
Muhammad Kamarul berkata, dia dimaklumkan mengenai kematian isterinya itu pada malam tadi dan keluarganya menerima ketentuan berkenaan dengan penuh reda dan sabar.
Katanya, walaupun tiada butiran rasmi berhubung kematian itu setakat ini, berkata keluarganya telah menerima keadaan tersebut.
"Wisma Putra menghubungi saya malam tadi dan memaklumkan apa yang berlaku.
Walaupun tiada butiran rasmi setakat ini, saya sekeluarga menerima ketentuan ini dengan sabar dan reda selepas kehilangan isteri dilaporkan sejak Khamis lalu.
"Wisma Putra mempunyai maklumat lanjut dan akan mengeluarkan kenyataan rasmi.
Saya mohon maaf kerana tidak dapat berkata banyak buat masa ini," katanya.
Walaupun kelihatan tenang dan tabah ketika didekati, Kamarul yang tidak banyak bercakap, mengakui jenazah isterinya akan dikebumikan di Jeddah.
Media sebelum ini melaporkan, Nadia Kesuma nama sebenarnya Nadiah Kasumawati Abdul Karim, 50, yang juga pelakon filem Syaitan Munafik, meninggal dunia pada Khamis lalu, iaitu hari sama beliau dilaporkan hilang di Jeddah, Arab Saudi.
Terdahulu, dalam satu hantaran di media sosial, Muhammad Kamarul berkata, Nadia Kesuma yang juga isteri yang taat, penyayang, ikhlas dan setia, dilaporkan hilang selepas gagal dikesan ketika transit di lapangan terbang di Jeddah ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke London.
Nadia Kesuma adalah sebahagian daripada 21 peserta pakej lawatan Umrah-London-Paris dianjurkan Nuh Travel & Tours Sdn Bhd.
Mereka berlepas dari Kuala Lumpur ke Jeddah, seterusnya ke London dan Paris, sebelum kembali ke Arab Saudi untuk menunaikan umrah.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/01/1498204/jenazah-nadia-kesuma-akan-dikebumi-di-jeddah-arwah-memang-mahu-ke
|