Edited by FOTHER-MUCKER at 19-1-2026 10:51 AM
Eropah hantar tentera ketika Trump berkeras mahu kuasai Greenland Pemandangan udara bandar Nuuk, Greenland diambil menggunakan dron. - Foto REUTERS
NUUK, GREENLAND: Negara Eropah mula menghantar sekumpulan kecil anggota tentera ke Greenland, ketika Denmark menegaskan rancangan memperkukuh kehadiran Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) secara "lebih besar dan kekal" bagi mengawal pulau strategik itu yang kini menjadi sasaran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Jerman, Sweden, Norway, Finland, Belanda dan United Kingdom (UK) menghantar anggota tenteranya ke pulau itu ketika Trump, terus mendesak tuntutannya terhadap pulau itu yang juga wilayah separa autonomi di bawah Denmark.
Penempatan awal anggota tentera itu bertujuan membantu Denmark dalam persediaan latihan ketenteraan, sekali gus menghantar isyarat sokongan padu sehari selepas rundingan antara pegawai AS, Denmark, dan Greenland menemui jalan buntu.
Susulan kegagalan rundingan itu, Trump mengulangi dakwaannya bahawa Denmark tidak boleh diharap untuk melindungi wilayah autonominya itu daripada ancaman pencerobohan Russia atau China.
Trump mendakwa pulau yang kaya dengan sumber mineral itu amat penting bagi keselamatan AS dan tidak menolak kemungkinan menggunakan kekuatan ketenteraan untuk mengambil alihnya.
Bagaimanapun, Greenland dan Denmark menegaskan wilayah itu "bukan untuk dijual" dan menyifatkan ancaman tersebut sebagai tindakan melampau.
Menteri Pertahanan Denmark, Troels Lund Poulsen, berkata pihaknya belum menetapkan jumlah akhir bagi peluasan kehadiran NATO di Greenland.
"Namun jelas bahawa kami kini boleh merancang kehadiran yang lebih besar dan kekal sepanjang 2026. Ini penting bagi membuktikan keselamatan Artik bukan tanggungjawab Denmark semata-mata, tetapi membabitkan seluruh sekutu NATO," katanya kepada media di Copenhagen.
Beberapa negara utama Kesatuan Eropah (EU) menyokong pendirian Denmark dan memberi amaran bahawa sebarang cubaan AS merampas Greenland secara ketenteraan boleh membawa kepada pembubaran NATO.
Setakat ini, Jerman, Perancis, Sweden, Norway, Finland, dan Belanda mengesahkan penghantaran anggota tentera bagi memulakan persiapan latihan berskala besar akhir tahun ini.
Di Nuuk, pemilik perniagaan Mads Petersen melahirkan rasa bimbang dengan kehadiran luar biasa anggota tentera itu. "Saya berharap ini bukan menjadi satu kebiasaan baharu di sini," katanya.
Dalam pada itu, Russia menyifatkan dakwaan NATO mengenai ancaman Moscow dan Beijing di Greenland sebagai "mitos" yang sengaja dicipta untuk mencetuskan histeria.
Moscow turut memberi amaran bahawa sebarang tindakan membelakangkan kepentingan Rusia di Artik akan menerima tindak balas sewajarnya.
Menteri Luar Denmark, Lars Lokke Rasmussen, mendedahkan kira-kira 200 tentera AS kini ditempatkan di Greenland yang mempunyai populasi 57,000 penduduk.
Walaupun skala penempatan Eropah tidak didedahkan secara rasmi, ia dipercayai masih kecil buat masa ini.
Angkatan Tentera Jerman menghantar pasukan tinjauan seramai 13 orang, manakala Perancis menghantar 15 pakar pergunungan yang bakal diperkukuh dengan aset darat, udara, dan laut dalam masa terdekat.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron, menegaskan bahawa Perancis dan EU perlu "tegas dalam mempertahankan kedaulatan wilayah."
Pakar dari Kolej Pertahanan Diraja Denmark, Marc Jacobsen, berkata penempatan tentera Eropah ini membawa dua mesej kepada pentadbiran AS.
"Pertama adalah sebagai pencegahan—untuk menunjukkan mereka sedia mempertahankan Greenland jika AS bertindak secara ketenteraan. Kedua, untuk membuktikan mereka memandang serius kritikan AS dengan meningkatkan kawalan dan kedaulatan di sana," jelasnya.
Rabu lalu, Rasmussen dan Menteri Luar Greenland, Vivian Motzfeldt, bertemu Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, serta Naib Presiden, JD Vance, di mana mereka bersetuju menubuhkan kumpulan kerja bagi membincangkan kebimbangan mengenai pulau itu.
Perdana Menteri Greenland, Jens-Frederik Nielsen, dalam ucapannya di Copenhagen menegaskan rakyat pulau itu tidak mahu ditadbir atau menjadi sebahagian daripada Amerika Syarikat.
"Kami memilih Greenland yang kami kenali hari ini, sebagai sebahagian daripada Kerajaan Denmark," katanya yang disambut dengan tepukan gemuruh. – REUTERS
|