
Mangsa kes simbah cecair disyaki asid dari Pakan mendapatkan rawatan di Hospital Sarikei.
PAKAN: Angkara pergaduhan suami isteri, seorang wanita yang berusia 36 tahun cedera dipercayai terkena simbah cecair disyaki asid dalam kejadian yang berlaku di sebuah kedai kopi di Pakan, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Julau DSP Alif Haiqal Ramesh Abdullah berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu yang dibuat oleh suami mangsa, 36, pada jam 9.58 pagi selepas isterinya cedera akibat disimbah dengan cecair dipercayai asid oleh suspek.
“Berdasarkan siasatan awal, punca kejadian dipercayai suspek tidak berpuas hati terhadap isterinya yang bekerja di kedai yang sama dengan mangsa kerana enggan bersamanya kembali.
“Suspek merupakan kaki botol, sering mabuk dan tidak bekerja.
“Isteri suspek dan mangsa bekerja di kedai minum tersebut sebagai pembancuh air.
“Ada beberapa pertengkaran suspek dengan isterinya sebelum ini di kedai yang sama,” katanya kepada media, hari ini.
Menurut Alif, kes itu disiasat di bawah seksyen 326 Kanun Keseksaan (KK) iaitu mendatangkan kecederaan parah dengan menggunakan benda melecur dipercayai cecair berbahaya atau asid.
“Menurut doktor, ia sejenis cecair berangin dicurahkan ke muka dan terkena badan mangsa.
“Pihak perubatan masih berusaha mengenal pasti jenis sebenar cecair tersebut.
“Sementara itu, mangsa kini sedang mendapatkan rawatan Hospital Sarikei,” kata Alif.
Tambahnya, suspek kini belum ditangkap kerana sedang menerima rawatan susulan di Hospital Sarikei dan akan ditangkap bila keadaannya stabil.
Sumber : Utusan Borneo
|