
SARIKEI: Seorang suri rumah dilaporkan mengalami kerugian sebanyak RM101,900 selepas menjadi mangsa ‘phone scam’.
Ketua Polis Daerah Sarikei Superintenden Aswandy Anis berkata, wanita yang menjadi mangsa penipuan tersebut berusia dalam lingkungan 40-an.
“Dalam kejadian tersebut, mangsa telah mengadu menerima satu panggilan telefon daripada seorang wanita yang tidak dikenali dan menyamar sebagai pegawai Cybersecurity Malaysia.
“Mangsa telah dimaklumkan oleh wanita berkenaan bahawa nombor telefon yang didaftarkan di atas nama mangsa, terlibat dengan kegiatan scammer.
“Pada masa yang sama, mangsa telah disambungkan kepada seorang lagi yang menyamar sebagai pegawai polis,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut Aswandy, mangsa yang telah terpengaruh dengan situasi tersebut telah mengikuti arahan oleh pihak scammer tersebut dan melakukan transaksi kewangan seperti yang diarahkan oleh pihak berkenaan.
“Mangsa telah melakukan transaksi kewangan melalui mesin secara berperingkat ke dalam akuan yang diberikan oleh suspek.
“Selepas melakukan transaksi tersebut, mangsa telah merasakan dirinya ditipu dan bertindak membuat laporan polis.
“Berikutan laporan tersebut, kes ini telah disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” kata Aswandy lagi.
Sumber : Utusan Borneo
|