
Dr Abdul Rahman diiringi Hilmy ketika menyertai aktiviti berjalan kaki pada Majlis Pelancaran Kalendar Acara 2026 DBKU dan Program Kuching Car Free Morning hari ini.
KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) akan memperluas Program Kuching Car Free Morning (Pagi Bebas Kenderaan) ke kawasan Petra Jaya sebagai laluan tambahan bermula April tahun ini.
Datuk Bandar DBKU Dato Hilmy Othman berkata, laluan baharu yang dicadangkan di Petra Jaya itu melibatkan kawasan sekitar Masja, selepas kajian terperinci dan penilaian laluan dilaksanakan.
Menurutnya, tahun 2026 menandakan tahun kelima penganjuran program berkenaan sejak ia mula diperkenalkan pada 2021 dan semalam menandakan permulaan pelaksanaannya untuk tahun ini.
“Berdasarkan sambutan positif daripada warga kota sejak beberapa tahun lalu, DBKU merancang untuk menyediakan satu lagi laluan tambahan bagi memastikan warga Petra Jaya turut dapat menikmati program ini,” katanya ketika ditemui media selepas pelancaran Kalendar Acara 2026 DBKU dan Program Kuching Car Free Morning di sini, hari ini.
Hilmy berkata, kaji selidik yang dijalankan menunjukkan orang ramai menyahut seruan untuk menjayakan pelaksanaan program itu di kawasan berkenaan.
Beliau menegaskan, peluasan pelaksanaan itu adalah sebahagian daripada usaha DBKU untuk menyebarkan kepentingan aktiviti riadah bersama dalam kalangan warga kota termasuk di kawasan Petra Jaya.
“Insya-Allah, dengan lokasi laluan baharu ini yang berdekatan dengan rumah Yang Amat Berhormat Premier Sarawak, kita juga berharap dapat menjemput beliau bersama-sama warga kota menyertai aktiviti riadah pada pagi hujung minggu,” katanya.
Mengulas mengenai penggiliran lokasi, Hilmy berkata, program itu akan diadakan pada Ahad pertama dan ketiga setiap bulan di Padang Merdeka, Tebingan Kuching, Pangkalan Sapi dan Dataran Ibu Pertiwi.
“Manakala bagi Ahad kedua setiap bulan, program ini akan diadakan di Petra Jaya, sekitar Masja,” katanya.
Beliau berkata, penggiliran lokasi ini bertujuan memastikan manfaat program dapat dinikmati oleh warga kota di kedua-dua kawasan.
Sehubungan itu, beliau berharap agar pelaksanaan itu mendapat sambutan baik daripada warga kota, selain mengajak orang ramai bersama-sama DBKU menjayakan pelbagai projek dan program yang disenaraikan sepanjang tahun ini.
Terdahulu, Majlis Pelancaran Kalendar Acara 2026 DBKU dan Program Program Kuching Car Free Morning disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Sumber : Utusan Borneo
|