CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 48|Reply: 0

[Sarawak] DAP ditegur kerana berdiam diri berhubung kontroversi ladang babi di Selangor

[Copy link]
Post time 19-1-2026 02:34 PM | Show all posts |Read mode


Wong (duduk tengah) bersama pasukannya menunjukkan kalendar 2026 daripada SUPP semasa program 'Kopitiam Talk' di Sibu Jaya, hari ini.

SIBU: Parti Tindakan Demokratik (DAP) ditegur kerana berdiam diri berhubung kontroversi ladang babi di Tanjong Sepat, Selangor.

Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Dudong Wong Ching Yong berkata, isu itu seharusnya menjadi satu peringatan baharu kepada masyarakat Cina kerana ia mendedahkan bagaimana DAP telah menjadi sebuah ‘parti senyap’ selepas memegang kuasa.

Menurutnya, isu tersebut semakin meruncing dari semasa ke semasa, namun para penternak babi tidak melihat sebarang usaha yang bersungguh-sungguh daripada DAP yang merupakan sebahagian daripada kerajaan negeri Selangor untuk bersuara bagi pihak mereka.

"Keadaan ini menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat Cina tentang ke mana perginya sebuah parti yang suatu ketika dahulu dikenali sebagai pembela keadilan.

"Dahulu, ketika DAP masih berada dalam pembangkang, para pemimpinnya sanggup berdiri di hadapan jentolak bersama para penternak babi untuk menghalang kerja-kerja perobohan, sambil mengecam kerajaan sebagai tidak berperikemanusiaan dan tidak peduli terhadap sumber rezeki para penternak.

"Adakah mereka kini telah menjadi pemimpin politik yang sama seperti yang pernah mereka benci dahulu?," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wong mengimbas kembali peristiwa pada tahun 2007 apabila Setiausaha Agung DAP ketika itu, Lim Guan Eng secara terbuka membantah tindakan kerajaan negeri Melaka untuk menutup beberapa ladang babi, dengan menyatakan bahawa penternakan babi bukanlah satu kegiatan yang haram atau tidak bermoral serta mempersoalkan mengapa industri tersebut menjadi sasaran.

Lim juga pernah menggesa MCA dan Gerakan supaya memastikan tiada ladang babi dipaksa ditutup.

Pada masa itu, bapa beliau, Lim Kit Siang, yang merupakan ketua pembangkang di Parlimen, turut mengkritik MCA kerana gagal melindungi hak para penternak babi.

"Tidakkah Lim sepatutnya mengemukakan persoalan yang sama kepada rakan-rakannya di Selangor sekarang? Dan tidakkah Lim Kit Siang juga patut menegur DAP atau malah Pakatan Harapan kerana gagal mempertahankan nasib penternak babi masa kini?," soal Wong lagi.

Beliau menambah bahawa bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor Ronnie Liu turut secara terbuka mengkritik kerajaan negeri Selangor dengan menuduhnya ‘memutuskan sumber rezeki para penternak terlebih dahulu sebelum membuat janji kosong’.

Menurut Wong, Liu telah menyatakan bahawa apabila isu ini semakin memuncak, Sultan bersuara dan perhatian media meningkat, langkah pertama kerajaan bukanlah untuk memperbaiki peraturan, memberikan tempoh peralihan atau menyediakan perlindungan, sebaliknya menarik balik lesen, menghentikan operasi dan melabelkan para penternak sebagai haram.

Wong yang juga Penolong Setiausaha Publisiti dan Penerangan SUPP Pusat, berkata dalam Pilihan Raya Negeri Selangor 2023, DAP memenangi kesemua 15 kerusi yang ditandinginya, mencerminkan harapan tinggi masyarakat Cina terhadap parti itu.

Empat wakil DAP dilantik sebagai ahli exco negeri, merangkumi 40 peratus daripada barisan kabinet negeri.

“Nampaknya masyarakat Cina tidak perlu bimbang tentang kekurangan wakil dalam koridor kuasa. “Namun dalam krisis ladang babi ini, para penternak tidak melihat pemimpin DAP tampil ke hadapan sebagaimana dilakukan oleh pendahulu mereka dahulu. Sebaliknya, pemimpin daripada parti yang tidak memerintah seperti MCA pula yang bersuara bagi pihak mereka,” katanya.

Menurut laporan media, ladang-ladang babi di Tanjong Sepat pada awalnya tidak dapat memperbaharui lesen mereka bermula 1 Januari tahun ini, dan kemudiannya dikehendaki mematuhi syarat sistem tertutup tanpa pelepasan sisa (zero-discharge), zon penampan serta pembaharuan lesen setiap enam bulan.

Bagaimanapun, kerajaan negeri Selangor kemudian mengumumkan rancangan untuk memindahkan para penternak ke Bukit Tagar di bawah skim penternakan babi berpusat.

Wong berkata, berdasarkan perkembangan ini sahaja, tidak sukar untuk membayangkan keresahan dan kekeliruan yang dihadapi oleh 111 penternak babi yang terlibat.

Beliau menegaskan bahawa menaik taraf kemudahan atau memindahkan ladang memerlukan pelaburan kewangan yang besar dan dalam suasana dasar yang tidak menentu, para penternak sudah tentu takut untuk bertindak, namun pada masa yang sama bimbang jika tidak berbuat apa-apa.

"Kami menyokong keperluan ladang babi beroperasi secara bertanggungjawab terhadap alam sekitar, termasuk mengambil kira sensitiviti rakan-rakan Muslim kita.

"Berdasarkan temu bual dengan penternak babi yang dilaporkan media, ramai yang menyatakan kesediaan untuk menaik taraf kemudahan bagi mengurangkan pencemaran.

“Namun, pendekatan kerajaan negeri Selangor yang tergesa-gesa, tidak telus dan lemah dari segi komunikasi hanya menyebabkan mereka panik," tambahnya.

Terdahulu, SUPP Cawangan Dudong dan SUPP Cawangan Sibu Jaya telah menganjurkan program 'Kopitiam Talk', di mana kaunter-kaunter disediakan untuk membantu perkhidmatan seperti Sarawak Pass, aduan awam, Kenyalang Gold Card serta pendaftaran Faedah Kesihatan Warga Emas.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic
Kuil haram besar ceroboh tanah rizab gunung, ganggu ketenteraman penduduk. Orang India sendiri tertekan apabila kuil haram dibina di depan rumahnya
ultra78Kuil haram besar ceroboh tanah rizab gun
Views : 22039 Replies : 32
'Daftar Tahun Satu usia enam tahun, 143 negara sudah guna pendekatan sama' - Nurul Izzah
Abahmung'Daftar Tahun Satu usia enam tahun,
Views : 21784 Replies : 5
Pelabur skim pelaburan 'Tan Sri' patut nikmati pulangan 2 tahun lalu, tapi tak berlaku
ultra78Pelabur skim pelaburan 'Tan Sri'
Views : 19360 Replies : 6
Orang Inggeris Takut Hilang Di Dunia. Takkan Inggeris Hilang Di Dunia.
B40tastePoshOrang Inggeris Takut Hilang Di Dunia. Ta
Views : 2023 Replies : 8
...CHAT ABOUT HUMANITY...
seribulan...CHAT ABOUT HUMANITY...
Views : 13939 Replies : 2028
QUEEN ELIZABETH II TELAH MANGKAT
ipes2QUEEN ELIZABETH II TELAH MANGKAT
Views : 17516 Replies : 148
Cafe Chef Wan
GigihadidntCafe Chef Wan
Views : 4442 Replies : 17
"Ku Sangkakan Dua, Rupanya Tiga"  - Isteri Ketiga Bekas Panglima Darat Muncul Dengan Bisul Kronik
Mahathirina"Ku Sangkakan Dua, Rupanya Tiga" - Iste
Views : 22064 Replies : 8
30k boleh bulan madu dekat Uzbekistan!Gadis Gen Z ini nak kahwin secara sederhana tapi kiciwa mak ayah nak majlis kahwin 'Grand'
YgBenar30k boleh bulan madu dekat Uzbekistan!Ga
Views : 23350 Replies : 2
travel to chicago
kukukufdd456yDdtravel to chicago
Views : 12530 Replies : 0

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-1-2026 05:48 AM GMT+8 , Processed in 0.523650 second(s), 11 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list