
ALBUM: Ruslan merakamkan gambar kenangan bersama barisan kepimpinan PBBS sesi 2025–2028 sejurus selesai Majlis Angkat Sumpah Ahli-Ahli Majlis Tertinggi PBBS yang diadakan di salah sebuah hotel dekat sini pada malam Sabtu.
BEAUFORT: Presiden Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS), Datuk Ruslan Muharam meminta supaya seluruh barisan kepimpinan persatuan itu bagi sesi 2025–2028 agar melaksanakan amanah serta tanggungjawab dengan penuh dedikasi, ikhlas dan bijaksana.
Beliau turut mengajak barisan kepimpinan PBBS supaya bergerak sebagai satu pasukan, dengan matlamat yang sama, demi memperkukuhkan PBBS sebagai sebuah persatuan yang dihormati dan disegani.
“Marilah kita bersama-sama memperkukuhkan perpaduan, memperjuangkan kepentingan masyarakat Bisaya dan memastikan PBBS terus relevan, progresif serta berdaya saing,” katanya.

IKRAR: Sesi Angkat Sumpah Ahli-Ahli Majlis Tertinggi PBBS yang diadakan di salah sebuah hotel dekat sini pada malam Sabtu.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Angkat Sumpah Ahli-Ahli Majlis Tertinggi PBBS Sesi 2025–2028 yang diadakan di salah sebuah hotel dekat sini pada malam Sabtu.
Dalam perkembangan sama, Ruslan memberitahu sebagai sebagai Presiden PBBS, beliau menegaskan tentang hala tuju persatuan iaitu berpaksikan kepada perpaduan, pemerkasaan dan kesinambungan warisan.
“Antara fokus utama kepimpinan PBBS adalah, memperkukuhkan perpaduan masyarakat Bisaya di seluruh Sabah. PBBS juga mesti menjadi wadah penyatuan yang kukuh, inklusif dan berteraskan semangat kekeluargaan.
“Kita perlu memperjuangkan peluang pendidikan, meningkatkan taraf ekonomi, serta menjaga kebajikan para ahli dalam persatuan ini.

HARGAI: Ruslan menerima cenderahati sempena majlis itu.
“Saja juga ingin mengajak semua kita supaya mencontohi kepimpinan Rasullulah Nabi Muhammad agar masyarakat Bisaya tidak tercicir daripada arus pembangunan negeri, agama Islam dan juga negara.
“Selain itu, warisan budaya dan bahasa Bisaya perlu dipelihara dan diwariskan kepada generasi muda agar tidak luput ditelan zaman,” katanya.
Justeru, Ahli-ahli Majlis Tertinggi PBBS haruslah memainkan peranan sebagai pemimpin yang mendengar, bekerja dan berkhidmat dan bukan sekadar memegang jawatan.
“Setiap keputusan yang diambil mestilah berlandaskan kepentingan persatuan dan masyarakat, bukan kepentingan peribadi.
“Kepimpinan yang berkesan lahir daripada semangat kerjasama, sikap saling menghormati dan kesediaan menerima pandangan serta teguran,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo
|