
Anggota APM melakukan pemantauan di terminal bot ekspres Kapit. - Gambar APM
KAPIT: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) meneruskan pemantauan di kawasan berisiko banjir meskipun keadaan cuaca di beberapa daerah dilaporkan semakin baik.
Pemantauan itu melibatkan beberapa lokasi yang dikenal pasti berisiko di daerah Song dan Kapit, dengan keadaan keseluruhan setakat pemantauan awal pagi Isnin dilaporkan terkawal.
Di daerah Song, rondaan pemantauan dijalankan antara jam 5 pagi hingga 5.22 pagi dengan cuaca dilaporkan baik dan tiada hujan, selain tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini.
Antara lokasi yang dipantau ialah Rumah Mohd Edwin di Sungai Katibas, Kampung Alai di Sungai Chapi serta Terminal Bot Ekspres Song.
Paras air di Sungai Katibas, Sungai Chapi dan Sungai Rajang masing-masing dilaporkan menunjukkan trend menurun dan masih dalam pemantauan rapi oleh pasukan bertugas.
Semua laluan jalan raya serta laluan pejalan kaki di kawasan terlibat disahkan masih boleh dilalui tanpa sebarang gangguan.
Sementara itu, di daerah Kapit, pemantauan dijalankan antara jam 5.30 pagi hingga 6.10 pagi dengan cuaca dilaporkan cerah dan tiada hujan.
Lokasi yang dipantau di Kapit merangkumi Rumah John Ramba di Sungai Sesibau, Kampung Baru/Muhibah dan Terminal Penumpang Bot Ekspres Kapit.
Paras air di semua lokasi berkenaan direkodkan berada pada tahap normal dan terkawal setakat pemantauan terkini.
Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kapit Kapten (PA) Frankie John Jawan, situasi semasa di semua lokasi pemantauan di kedua-dua daerah masih terkawal dan tidak menjejaskan keselamatan penduduk.
“Buat masa ini, tiada sebarang kejadian bencana atau kecemasan dilaporkan, namun pemantauan akan diteruskan secara berterusan bagi memastikan sebarang perubahan paras air dapat dikesan lebih awal,” katanya.
Beliau turut menasihatkan penduduk yang tinggal berhampiran sungai dan kawasan rendah supaya sentiasa berwaspada, memantau keadaan sekeliling serta mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya berlaku perubahan cuaca atau paras air secara mendadak.
Sumber : Utusan Borneo
|