
Perwakilan dari Sarawak berinteraksi dengan para pengunjung di Pameran Pelancongan MATKA 2026 di Helsinki, Finland.
KUCHING: Sarawak mencatatkan kehadiran berimpak tinggi di Pameran Pelancongan MATKA 2026 dengan memperkukuhkan kedudukan negeri ini dalam pasaran pelancongan jarak jauh Nordik.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Dr Sharzede Datu Salleh Askor berkata, kehadiran berterusan Sarawak di acara itu membuktikan kepentingan pasaran Nordik kepada pembangunan pelancongan negeri.
"Ketika Malaysia menuju sasaran Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan 43 juta ketibaan pelawat, Sarawak komited memainkan peranan yang bermakna dan berbeza.
"Pasaran Nordik menghargai keaslian, kelestarian dan pengalaman perjalanan yang bermakna dan Sarawak menawarkan ketiga-tiganya dalam skala yang luas," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, pihaknya turut menyatakan ia dilaksanakan berbekalkan pencapaian terbaharu Rekod Dunia Guinness serta momentum kukuh menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Penyertaan Sarawak di pameran yang berlangsung dari 15 hingga 18 Januari 2026 di Pusat Ekspo dan Konvensyen Helsinki itu merupakan antara tonggak utama strategi pasaran Eropah dan Nordik STB.
"Ia selari dengan aspirasi nasional Malaysia untuk menarik 43 juta ketibaan pelawat pada tahun 2026, dengan tumpuan khusus kepada pasaran jarak jauh bernilai tinggi seperti Eropah," katanya.
Jelas pihaknya lagi, penyertaan kali ini turut mencerminkan komitmen Sarawak dalam menyokong matlamat pelancongan negara melalui pengukuhan penglibatan dalam pasaran Eropah dan Nordik yang berpulangan tinggi, khususnya pada awal tahun 2026.
Momentum ini disokong oleh trend pemulihan yang memberangsangkan, apabila ketibaan pelawat Nordik ke Sarawak meningkat hampir 30 peratus dari Januari hingga Disember 2025, menandakan keyakinan yang semakin pulih terhadap perjalanan jarak jauh ke destinasi ini.
Sebagai antara destinasi paling unik di Malaysia, penyertaan Sarawak di pameran pelancongan terbesar rantau itu melangkaui promosi destinasi semata-mata.
Melalui persembahan budaya yang imersif, libat urus perdagangan yang disasarkan serta penceritaan berteraskan kelestarian, Sarawak menegaskan kesediaannya menerima pelancong jarak jauh yang mencari pengalaman alam semula jadi, budaya dan pelancongan berteraskan tujuan.
Sepanjang empat hari pameran, reruai promosi Sarawak menjadi platform interaksi berprofil tinggi bagi ejen pelancongan, pengendali pelancongan, wakil media dan pempengaruh dari negara-negara Nordik.
Sesi pertemuan perniagaan berstruktur dan taklimat destinasi berjaya menjana hubungan perdagangan baharu serta prospek berkualiti dan mengukuhkan saluran susulan pasca acara.
Pembentangan destinasi memberi penekanan kepada kekuatan Sarawak dalam ekopelancongan, pengembaraan berasaskan alam semula jadi, budaya masyarakat pribumi dan pelancongan berasaskan komuniti, selari dengan keutamaan pelancong Nordik yang mengutamakan perjalanan bertanggungjawab, imersif dan berimpak rendah.
Elemen penceritaan budaya muncul sebagai antara tarikan paling berkesan Sarawak di Pameran Pelancongan MATKA 2026.
Persembahan muzik sape dan tarian tradisional di pentas utama menarik minat pengunjung, manakala bengkel pembuatan manik secara langsung di Zon Pengalaman MATKA memberi peluang kepada pelawat untuk merasai sendiri warisan hidup Sarawak.
Kehadiran berimpak Sarawak di Pameran Pelancongan MATKA 2026 mengukuhkan lagi keterlihatan negeri ini di pasaran Nordik pada saat penting bagi sektor pelancongan Malaysia.
Dengan gabungan pengiktirafan global berasaskan rekod dunia, penceritaan budaya yang autentik dan libat urus pasaran yang strategik, Sarawak terus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi jarak jauh yang menarik sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Sumber : Utusan Borneo
|