Jitra: Identiti dua mangsa rentung yang ditemukan dalam sebuah kereta Honda Civic yang
terbakar di Plaza Tol Jitra, arah utara sudah pun dikenal pasti dan mempunyai hubungan kekasih.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, mangsa dikenali sebagai Pang Seng Ching, 20, yang memandu kereta terbabit dan teman wanitanya, Tan Hui Shan, 19.
Beliau berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 1.15 pagi apabila kereta Honda Civic dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebaik tiba di Plaza Tol Jitra arah utara sebelum melanggar pembahagi lorong tol, terbalik dan terbakar.
"Akibat kemalangan, pemandu dan penumpang kereta disahkan maut di tempat kejadian dan mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk tujuan bedah siasat, " katanya dalam kenyataannya hari ini.
Mohd Radzi berkata, pemandu kereta itu bekerja sebagai peniaga dan beralamat di Jalan Padang Telela Pauh, Arau, Perlis manakala wanita itu tidak bekerja berasal dari Jelutong, Georgetown, Pulau Pinang.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Media sebelum ini melaporkan, dua individu ditemukan rentung di dalam sebuah kereta yang musnah dalam kebakaran di Plaza Tol Jitra, Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, dekat sini, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Noor Azhar Tajudin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada 1.05 pagi tadi.