Kuala Lumpur : Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menerusi perkhidmatan Rapid On-Demand (ROD) bercadang untuk menambah 300 van secara berperingkat bermula akhir 2027 hingga 2028.
Menerusi angka itu, 10 peratus daripadanya adalah mesra orang kelainan upaya (OKU) bagi memastikan pengguna dalam kalangan itu dapat menikmati kemudahan awam yang disediakan Prasarana.
Ketua Strategi dan Perancangan Prasarana, Sharul Azwa Abd Rani berkata, sejak diperkenalkan pada 2024, sehingga kini terdapat 301 van ROD dan 10 peratus turut mempunyai kemudahan khas untuk OKU.
Katanya, Prasarana peka dengan semua segmen pengguna termasuk OKU yang memerlukan perkhidmatan pengangkutan awam.
"Prasarana mencatat pertumbuhan positif untuk perkhidmatan ROD dengan jumlah penumpang harian meningkat secara konsisten dan mencecah lebih 19,000 secara keseluruhan pada hujung tahun lalu.
"Prestasi ini mencerminkan penerimaan yang semakin menggalakkan terhadap perkhidmatan mobiliti berasaskan permintaan yang fleksibel dan mesra pengguna, khususnya dalam menyokong pergerakan komuniti setempat," katanya pada taklimat ROD di sini, hari ini.
Katanya, ketika ini semua van ROD beroperasi di 82 zon perkhidmatan di Lembah Klang dan Pulau Pinang.
"Perkhidmatan ini membantu menghubungkan komuniti setempat dengan rangkaian rel dan bas sedia ada, khususnya di kawasan yang tidak diliputi oleh laluan bas tetap atau mempunyai permintaan perjalanan yang lebih bersasar.
"Seiring dengan pertumbuhan perkhidmatan, Rapid Bus turut menambah baik aplikasi Rapid On-Demand yang berfungsi sebagai platform tempahan tunggal sejak 15 November lalu," katanya.
Katanya, penambahnaikkan itu merangkumi aspek kestabilan sistem, paparan maklumat perjalanan yang lebih jelas, serta pengurusan masa menunggu yang lebih konsisten, berdasarkan maklum balas pengguna sepanjang tempoh pelaksanaan.
"Usaha ini bertujuan memastikan pengalaman pengguna yang lebih lancar dan boleh dijangka, selari dengan peranan ROD sebagai perkhidmatan pelengkap batuan pertama dan akhir (first and last mile) yang praktikal dan mudah diakses," katanya.
Menurutnya, bermula 1 Februari ini, perkhidmatan ROD akan beroperasi dengan kadar tambang tetap RM2 bagi setiap perjalanan.
"Selaras dengan penyelarasan ini, pemegang pas My50, Rapid Kota, Rapid Kembara dan Rapid Keluarga juga perlu membayar tambang ini bagi setiap perjalanan mereka," katanya.