Langkawi: Keselamatan dan ketenteraman penduduk di Taman Simfoni, Kelibang di sini didakwa terancam susulan kehadiran anjing liar yang berkeliaran di kawasan perumahan itu sejak setahun lalu.
Kehadiran anjing liar terbabit, khususnya pada waktu petang dan malam, bukan sahaja mengganggu ketenteraman penduduk, malah menimbulkan kebimbangan terhadap aspek kebersihan dan keselamatan awam.
Penduduk, Mohd Afendy Abdullah, 65, berkata anjing liar terbabit bukan sahaja berkeliaran, malah meninggalkan kesan kekotoran yang menimbulkan kebimbangan terhadap kesihatan penduduk setempat.
Katanya, jumlah anjing liar itu juga semakin bertambah dan sering menyelongkar tong sampah untuk mencari sisa makanan, menyebabkan sampah bertaburan di hadapan rumah penduduk, sekali gus mencacatkan pemandangan.
"Keadaan ini berlaku hampir setiap hari, terutama pada petang dan malam.
Selain itu, bunyi bising lewat malam menyebabkan penduduk tertekan terutama kanak-kanak yang tidak nyenyak tidur.
"Ketidakselesaan itu turut dirasai pelayar muda yang menginap di asrama di Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan yang letaknya bersebelahan taman ini," katanya.
Afendy berkata, kehadiran anjing liar menyebabkan anak dan cucunya, selain kanak-kanak lain tidak bebas bermain di sekitar taman perumahan kerana bimbang diserang haiwan terbabit.
"Alhamdulillah... setakat ini belum ada penduduk atau kanak-kanak cedera namun risiko itu tetap ada jika masalah ini tidak ditangani segera," katanya.
Beliau berkata, kawasan perumahan itu dihuni 80 keluarga, selain ada sebuah apartment bersebelahan menempatkan 180 kediaman termasuk beberapa unit inap desa yang sering disewa pelancong.
Sementara itu, seorang pelancong, Christina Liew, 45, dari Sabah, berkata, kehadiran anjing liar turut meninggalkan kesan kekotoran apabila najis haiwan itu dapat dilihat di merata tempat berhampiran bangunan apartment disewanya.
"Apa gunanya pemandangan laut yang cantik berdekatan kawasan ini jika idak dapat digunakan untuk beriadah kerana ancaman anjing liar yang berkeliaran," katanya.
Christina berkata, dia menyewa inap desa di apartment berkenaan dengan harapan dapat berjalan di pesisir pantai, namun terpaksa membatalkan hasrat itu kerana berasa tidak selamat.