J ARUL Kumar menunjukkan Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) bagi kesalahan membuang sampah di tempat awam di Negeri Sembilan yang dikenakan kepada orang awam. FOTO Ihsan pembaca
Seremban: Masih ramai yang degil membuang sampah merata-rata walaupun menyedari hukuman berat menanti termasuk Perintah Khidmat Masyarakat (PKM).
Ini terbukti apabila seramai 49 individu dikenakan Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) bagi kesalahan membuang sampah di tempat awam di Negeri Sembilan sehingga kelmarin.
Ia susulan pelaksanaan hukuman PKM dan denda maksimum RM2,000 bagi kesalahan membuang sampah kecil yang bermula 1 Januari lalu.
Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J Arul Kumar berkata, PKM dilaksanakan ini menandakan dasar kerajaan daripada pendekatan hukuman berbentuk denda semata-mata kepada pembentukan tingkah laku dan tanggungjawab sivik jangka panjang.
"Mulai 1 Januari 2026, peraturan lebih ketat dikuatkuasakan. Kalau buang sampah merata-rata, bukan setakat denda maksimum sehingga RM2,000 boleh dikenakan, tetapi akan dikenakan PKM sehingga 12 jam.
"Di Negeri Sembilan penguatkuasaan terhadap kesalahan pembuangan sampah ini dimulakan dan seramai 49 individu dikenakan notis atas kesalahan mereka seterusnya akan dihadap ke mahkamah," katanya semalam.
Jelas beliau, sebanyak 42 Kertas Siasatan (IP) sudah dihantar ke Timbalan Pendakwaraya (TPR) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi semakan dan izin kompaun.
"Daripada jumlah itu, sebanyak tiga kes sudah mendapat izin kompaun dan sebutan kes di Mahkamah Sesyen, di sini, pada Isnin lalu," katanya. Justeru itu, beliau berkata, kerajaan negeri memohon orang awam supaya tidak membuang sampah kecil di merata tempat dan menyimpannya sebelum dibuang ke dalam tong sampah yang disediakan sahaja.
|