Edited by FOTHER-MUCKER at 19-1-2026 08:16 PM
Brooklyn Beckham putuskan hubungan dengan keluarga Brooklyn Beckham, anak sulung pasangan selebriti popular, David dan Victoria memutuskan hubungan dengan keluarganya.- Foto IG/Agensi
KUALA LUMPUR: Konflik membabitkan keluarga Beckham terus mendapat perhatian umum apabila Brooklyn, anak sulung pasangan selebriti popular, David dan Victoria memutuskan hubungan dengan keluarganya.
Menerusi muat naik panjang lebar di IG, Brooklyn, 26 mendakwa sudah tiba masanya untuk berkongsi kisah sebenarnya mengenai pelbagai dakwaan dibuat ibu bapanya yang disifatkan suatu pembohongan.
Menerusi muat naik panjang lebar di IG, Brooklyn, 26 mendakwa sudah tiba masanya untuk berkongsi kisah sebenarnya mengenai pelbagai dakwaan dibuat ibu bapanya yang disifatkan suatu pembohongan. - Foto IG
"Saya berdiam diri selama bertahun-tahun dan berusaha sedaya upaya untuk memastikan perkara ini kekal bersifat peribadi.
"Namun malangnya, ibu bapa saya bersama pasukan mereka terus membawa isu ini kepada media, menyebabkan saya tidak mempunyai pilihan selain bersuara bagi mempertahankan diri dan mendedahkan kebenaran mengenai sebahagian daripada pembohongan yang diterbitkan.
"Saya tidak mahu berdamai semula dengan keluarga saya. Saya tidak dikawal oleh sesiapa, sebaliknya buat pertama kali dalam hidup, saya tampil mempertahankan diri sendiri," katanya menurut muat naik terbabit.
Dakwanya Brooklyn lagi, sepanjang hidup beliau, ibu bapanya mengawal naratif media mengenai keluarga mereka. "Paparan media sosial yang bersifat lakonan selain majlis keluarga serta hubungan yang tidak tulen sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan yang saya lalui sejak dilahirkan.
"Baru-baru ini, saya menyaksikan sendiri sejauh mana mereka sanggup menyebarkan pelbagai pembohongan di media, kebanyakannya dengan mengorbankan individu yang tidak bersalah, hanya untuk mengekalkan imej mereka.
"Namun saya percaya, kebenaran akhirnya akan terserlah," katanya. Brooklyn menerusi muat naik itu turut mendakwa ibu bapanya cuba merosakkan hubungannya bersama isteri, Nicola sebelum perkahwinan mereka dan berterusan sehingga kini.
"Ibu saya membatalkan penyediaan gaun perkahwinan Nicola pada saat-saat akhir, walaupun Nicola begitu teruja untuk mengenakan rekaan terbabit, sekali gus memaksanya mencari gaun baharu dalam keadaan tergesa-gesa.
"Beberapa minggu sebelum hari perkahwinan, ibu bapa saya berulang kali menekan dan cuba menyogok saya supaya menandatangani perjanjian melepaskan hak ke atas nama saya, yang akan memberi kesan kepada saya, isteri serta anak-anak kami pada masa hadapan.
"Mereka berkeras mahu saya menandatangani perjanjian itu sebelum tarikh perkahwinan kerana terma perjanjian akan berkuat kuasa sebaik sahaja ditandatangani.
"Keengganan saya menjejaskan bayaran yang mereka harapkan, dan sejak itu mereka tidak lagi melayan saya seperti dahulu," dakwanya. Beliau mendakwa, malam sebelum perkahwinan, ahli keluarganya memberitahu bahawa Nicola 'bukan darah daging' dan 'bukan keluarga'.
"Sejak saya mula mempertahankan diri dalam keluarga, saya menerima serangan tanpa henti daripada ibu bapa saya, sama ada secara peribadi mahupun terbuka, yang disalurkan ke media atas arahan mereka.
"Malah, adik-beradik lelaki saya turut diarahkan menyerang saya di media sosial sebelum mereka tiba-tiba menyekat saya pada musim panas lalu," katanya.
Anak sulung daripada empat beradik itu turut mendakwa isterinya berulang kali diperlakukan dengan tidak hormat oleh keluarga mereka, meskipun Brooklyn dan Nicola berusaha sedaya upaya untuk bersatu sebagai satu keluarga.
"Ibu saya juga berulang kali mengundang wanita daripada masa lalu saya ke dalam kehidupan kami dengan cara yang jelas bertujuan menimbulkan rasa tidak selesa.
"Walaupun begitu, kami tetap ke London bagi meraikan hari lahir ayah saya, namun kami dipinggirkan selama seminggu ketika menunggu di hotel sambil cuba merancang masa berkualiti bersamanya.
"Dia menolak semua usaha kami kecuali jika ia berlangsung di majlis hari lahirnya yang besar dengan kehadiran ratusan tetamu serta kamera di setiap penjuru.
"Apabila dia (David) akhirnya bersetuju untuk bertemu saya, namun dengan syarat Nicola tidak dijemput. Ia benar-benar satu penghinaan," katanya. Brooklyn dan Nicola menetap bersama di Amerika Syarikat (AS) sejak perkahwinan mereka pada 2022.
Berkongsi lanjut, Brooklyn menjelaskan naratif bahawa isterinya mengawal beliau disifatkan tidak benar. Hakikatnya, saya dikawal oleh ibu bapa saya dan membesar dengan keresahan melampau.
"Buat pertama kali dalam hidup, sejak menjauhkan diri daripada keluarga saya, keresahan itu hilang. Setiap pagi saya bangun dengan rasa syukur atas kehidupan yang saya pilih, dan saya akhirnya menemui ketenangan serta kelegaan," kongsinya.
Brooklyn menegaskanya beliau dan isteri tidak mahukan kehidupan yang dibentuk oleh imej, liputan media atau manipulasi. "Apa yang kami inginkan hanyalah keamanan, privasi dan kebahagiaan untuk kami serta keluarga yang bakal dibina.
|