Kepala Batas: Sekumpulan pesawah di Penaga, di sini, merayu supaya kerajaan campur tangan dan membantu mencari penyelesaian tuntas berhubung isu peningkatan kadar potongan pemutuan padi yang didakwa semakin melampau sehingga menjejaskan periuk nasi mereka.
Pesawah, Ruzi Mohd Fadzil, 52, berkata, kadar minimum potongan pemutuan padi yang ditetapkan oleh pengilang didakwa meningkat daripada sekitar 20 peratus kepada 24 peratus bermula November lalu dikhuatiri membebankan petani dalam jangka masa panjang jika tidak dikawal.
"Kenaikan potongan ini walaupun nampak macam sikit empat peratus sahaja, dalam aspek margin bagi setiap lapan tan, kadar penyusutan pendapatan yang kami hadapi ialah sekitar RM500 hingga RM650.
"Saya sendiri mengusahakan sawah seluas dua hektar yang boleh menghasilkan 16 tan padi semusim, jadi kalau dihitung, kenaikan jumlah potongan ini sangat membebankan kerana kos penanaman padi bukan murah.
"Peningkatan kadar potongan ini juga menjejaskan jumlah subsidi yang kami terima sedangkan kos-kos lain misalnya upah traktor, harga baja, racun perosak sudah meningkat," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Ruzi berkata, dirinya berasa lebih tersepit kerana harga benih padi turut meningkat hampir sekali ganda iaitu mencecah RM54 ke RM60 untuk setiap 20 kilogram (kg) berbanding RM32 bagi jumlah sama sejak enam musim penanaman padi yang lalu.
"Kami di sini tanam padi setahun dua musim.
Maaf cakap, kualiti benih yang diterima juga tidak berapa bagus sekarang berbanding dulu tetapi kami tiada pilihan kerana hanya boleh beli benih berdaftar sahaja," katanya.
Bagi Mohd Yusri Mustafa, 47, berkata dugaan kali ini terasa berat kerana dia terpaksa menjual rumah yang didiami bersama isteri dan empat anak serta tinggal bersama orang tuanya untuk menampung kos penanaman padi dan perbelanjaan lain.
Katanya, dia menyewa kira-kira 13 hektar tanah di sekitar kawasan Paya Keladi, Padang Tembusu dan Batang Sintok di sini dengan bayaran mencecah RM7,000 semusim selain semua anaknya masih bersekolah termasuk anak sulungnya yang baru mendaftar program matrikulasi.
"Harga lantai (belian padi) RM1,500 setiap tan jika dipotong anggaran yang tinggal lebih kurang RM1,050.
Saya jadi tertanya-tanya teruk sangatkah padi tempatan kita sampai kena potong sebanyak itu.
Di negeri lain saya dengar ada potong sampai 27 peratus hingga 30 peratus," katanya.
Seorang lagi pesawah, Muhammad Ikhwan Zulkifli, 27, berkata memohon kerajaan melakukan reformasi menyeluruh untuk meningkatkan kualiti hidup petani sepertinya.
"Jadi 30 peratus itulah untuk belanja enam bulan, bawa modal ke depan.
Ini bukan kerja senang," katanya.