|
KUALA LUMPUR: Bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas empat tuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram yang keseluruhannya berjumlah RM2.12 juta. Muhammad Hafizuddeain, 58, yang tenang sepanjang prosiding, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan terhadap semua tuduhan berkenaan yang didakwa dilakukan di antara 2 Februari 2024 dan 7 November tahun lalu, di hadapan Hakim Azura Alwi. "Faham (pertuduhan) puan, saya mohon dibicarakan," katanya. Beliau ialah PTD pertama yang didakwa di mahkamah berhubung kes pengubahan wang haram berkaitan tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM). Beliau yang menghantar surat untuk bersara daripada perkhidmatan tentera, bermula 1 Januari lalu, didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM969,000, RM474,850, RM488,550 dan RM190,000 yang dimasukkan ke dalam tiga akaun bank miliknya. Kesemua kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di dua buah bank di tiga lokasi beebeza iaitu di Jalan Melaka, Jalan Tun Perak dan Bukit Damansara di sini, antara 2 Februari 2024 dan 7 November 2025. Sehubungan itu, Muhammad Hafizuddeain didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama. Jika disabitkan kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.
|