|
View: 13108|Reply: 0
|
Anak Muammar Gaddafi, Seif al-Islam mati dibunuh oleh sepasukan komando empat orang
[Copy link]
|
|
|
Tripoli: Seif al-Islam, anak kepada pemimpin yang lama memerintah Libya iaitu Muammar Gaddafi mati dibunuh pada Selasa oleh lelaki bersenjata yang menyerbu rumahnya di barat Libya, Zintan, kata peguam Perancisnya, Marcel Ceccaldi kepada AFP.
"Dia dibunuh hari ini pada 2 petang (1200 GMT)... di Zintan di rumahnya oleh sepasukan komando empat orang," kata Ceccaldi.
Seif al-Islam, 53, dilihat oleh sesetengah pihak sebagai pengganti bapanya, walaupun disasarkan dengan waran daripada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) atas dakwaan jenayah terhadap kemanusiaan.
Pada 2021, beliau mengumumkan akan bertanding jawatan presiden, tetapi pilihan raya itu ditangguhkan selama-lamanya.
Penasihatnya, Abdullah Othman Abdurrahim, memberitahu saluran televisyen Libya, Al-Ahrar bahawa empat lelaki yang tidak dikenali itu menyerbu rumah berkenaan, sebelum "melumpuhkan kamera pengawasan, kemudian membunuhnya."
Masih belum jelas siapa yang berada di sebalik pembunuhan itu.
Ceccaldi berkata, seorang rakan rapat Seif al-Islam memberitahunya beberapa hari yang lalu "bahawa terdapat masalah dengan keselamatannya."
"Sehinggakan ketua puak (Gaddafi) menghubungi Seif dan memberitahunya, 'Saya akan menghantar orang untuk memastikan keselamatan anda'. Tetapi Seif enggan," katanya.
Walaupun Seif al-Islam tidak memegang sebarang jawatan rasmi di negara Afrika Utara di bawah pemerintahan bapanya, beliau digambarkan sebagai perdana menteri 'de facto' Libya, memupuk imej seorang yang sederhana dan reformis sebelum pemberontakan Arab Spring 2011.
Tetapi reputasi itu tidak lama kemudian runtuh apabila beliau menjanjikan "sungai darah" dalam menghadapi pemberontakan.
Seif al-Islam ditangkap pada November 2011 di selatan Libya susulan waran yang dikeluarkan ICJ di The Hague, Belanda.
Mahkamah Tripoli kemudiannya menjatuhkan hukuman mati kepadanya pada 2015 selepas perbicaraan yang cepat, tetapi beliau diberikan pengampunan.
Keberadaannya lama tidak diketahui. Ceccaldi berkata beliau "sering berpindah-randah."
Libya bergelut untuk pulih daripada kekacauan yang meletus selepas pemberontakan yang disokong Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) pada 2011, dan menggulingkan Muammar Gaddafi .
Libya masih berpecah antara kerajaan yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang berpangkalan di Tripoli dan kerajaan timur yang disokong oleh Haftar.
Sumber: Harian Metro |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
|