|
View: 13655|Reply: 1
|
[Dunia]
Kes intipan peranti GPS ragut nyawa di Jepun
[Copy link]
|
|
|
Tokyo: Seorang wanita hamil di Jepun dibunuh oleh bekas teman lelakinya, selepas suspek mengesan keberadaan mangsa melalui peranti Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) yang disembunyikan di dalam anak patung, dalam kejadian yang mengejutkan masyarakat negara itu, lapor Maeil Business Newspaper.
Akhbar itu yang memetik South China Morning Post (SCMP) melaporkan, juruhias kuku tangan, Haruka Komatsumoto, 31, dipukul di kepala dan ditikam hingga mati di apartmennya pada 31 Disember tahun lalu.
Mangsa dilaporkan mengalami lebam di lengan ketika cuba melindungi bayinya sehingga ke saat akhir sebelum meninggal dunia.
Difahamkan, polis Wilayah Ibaraki menahan bekas teman lelaki mangsa, Takumi Ouchi, 28, sebagai suspek utama, pada 21 Januari lalu.
Pasangan itu dilaporkan bercinta kurang daripada setahun sebelum berpisah pada 2024.
Menurut media sama, Komatsumoto menyekat akses telekomunikasi dengan bekas teman lelakinya selepas suspek berulang kali mendesak untuk bertemu semula melalui panggilan telefon dan mesej teks.
Susulan itu, Ouchi cuba menjejaki alamat apartmen Komatsumoto yang hamil dan tinggal bersama suaminya.
Sementara itu, beberapa hari sebelum kejadian, sebuah anak patung dihantar ke rumah ibu bapa mangsa bersama sepucuk surat yang mendakwa ia hadiah cabutan bertuah daripada sebuah taman hiburan.
Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa membawa pulang mainan berkenaan ke rumahnya.
Ouchi kemudian berjaya mengetahui alamat apartmen mangsa melalui peranti GPS yang disembunyikan di dalam anak patung berkenaan, sebelum menyebabkan kematian wanita terbabit.
Susulan kejadian, polis dapat mengesan Ouchi melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran rumah mangsa.
Kes itu mencetuskan kontroversi dalam talian mengenai penggunaan peranti GPS dengan orang ramai menyuarakan kebimbangan terhadap risiko jenayah mengintip tanpa izin
|
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
|