|
View: 14243|Reply: 0
|
Pelabuhan Bintulu diserah kepada Sarawak dengan nilai RM1.8 bilion - Anthony Loke
[Copy link]
|
|
|
KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan secara prinsipnya bersetuju menyerahkan Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak dengan nilai RM1.8 bilion.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata sehingga kini penyerahan pelabuhan itu kepada Sarawak di peringkat akhir membabitkan proses perundangan.
Katanya, tidak timbul jumlah transaksi itu membebankan kerajaan negeri Sarawak kerana negeri itu mempunyai kemampuan dan ia juga dipersetujui antara dua pihak.
"Soal kerajaan Sarawak mampu atau tidak... saya rasa Yang Berhormat tidak perlu bimbang.... kerajaan negeri tidak bimbang. Saya yakin kemampuan kewangan Sarawak malah mereka juga ingin bayar secara 'lump sum'.
" elabuhan Bintulu masih berstatus pelabuhan Persekutuan di bawah kawal selia Lembaga Pelabuhan Bintulu sehingga Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) dikuatkuasakan.
"Sehingga kini jawatankuasa teknikal yang ditubuhkan dan dipengerusikan bersama antara negeri dan Persekutuan sedang memperhalusi aspek perundangan bagi memastikan semua obligasi disempurnakan kedua-dua pihak," katanya melalui sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) yang meminta Menteri Pengangkutan menyatakan status semasa Pelabuhan Bintulu dan jumlah yang dibayar kerajaan negeri Sarawak.
Pada masa sama, Loke berkata, proses penyerahan pelabuhan itu kepada kerajaan negeri Sarawak sama sekali tidak membabitkan swasta.
Menjawab soalan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) sama ada kerajaan sedia mendedahkan butiran terperinci jumlah transaksi membabitkan RM1.8 bilion itu termasuk di peringkat Jawatankuasa Khas Parlimen, Loke bagaimanapun berkata, ia terpulang kepada kerajaan Persekutuan dan negeri.
"Dari segi aspek penilaian dan sebagainya ia masih diperhalusi antara Persekutuan dan negeri membabitkan jawatankuasa teknikal, khas dan kerja sebelum ia boleh dimuktamadkan.
"Berikutan ia adalah antara perjanjian antara kerajaan Persekutuan dan negeri, jadi terpulang pada dua pihak sama ada untuk mendedahkan maklumat terbabit.
"Di peringkat Kementerian Pengangkutan, kita tiada masalah kerana tiada apa yang perlu disembunyikan... ia berjalan atas dasar yang telus," katanya.
Sumber: Harian Metro |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
|