|
Bacaan kelompok terbabit didakwa tidak menepati piawaian pembacaKESUSASTERAAN kanak-kanak dan remaja tempatan masih belum berada pada tahap memberangsangkan untuk membentuk jati diri dan budaya bangsa pembaca kelompok itu bagi mengharungi era globalisasi kerana judul bahan bacaan untuk mereka di pasaran hari ini kurang digemari dan tidak mampu menarik perhatian.\n\n\n\nKetua Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Arbaie Sujud berkata, kajian mendapati ada pembaca yang menganggap bahan yang disajikan dalam genre itu tidak menepati kehendak mereka.\n\n\n\n\n\n“Kanak-kanak dan remaja pada hari ini kurang menggemari karya tempatan genre ini kerana berpendapat cerita yang disampaikan sukar difahami dan tidak menepati kehendak mereka. Ini mengakibatkan kesusasteraan kanak-kanak dan remaja tidak dapat menjalankan fungsinya sebagai wadah hiburan dan pendidikan,” katanya ketika mengupas Cabaran Sastera Kanak-kanak dan Remaja Pada Era Kini pada Seminar Sehari Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja 2011.Seminar bertema Hala Tuju Pembangunan Sastera Kanak-kanak dan Remaja di Malaysia anjuran bersama Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM Malaysia dan Kementerian Pelajaran. di Perpustakaan Kuala Lumpur, baru-baru ini, membabitkan pembentangan 16 kertas kerja.Dr Arbaie yakin hala tuju ke kesusasteraan kanak-kanak dan remaja pada hari ini boleh diperbaiki dengan menangani corak penyampaian kepada pembaca agar dapat diterima kelompok sasaran, termasuk memastikan pemilihan bahasa bertepatan dengan tahap pembacaan mereka, serentak itu menyelitkan unsur daya tarikan.“Bahasa yang terlalu tinggi dalam genre ini akan menyukarkan pemahaman mereka. Penulis dan penerbit juga perlu bijak menyelitkan unsur yang boleh menarik perhatian mereka. Ini termasuk mewujudkan karya penuh maklumat dan ilustrasi yang menarik,” katanya.\n\n\n\nSelain itu, beliau turut mencadangkan agar diwujudkan pangkalan data yang mengumpulkan karya kesusasteraan kanak-kanak dan remaja tempatan agar lebih mudah dicapai pembaca, selain dapat menggalakkan kerjasama erat di antara penulis, penerbit dan semua pihak yang terbabit dalam untuk menghasilkan karya kategori ini.Tidak ketinggalan, beliau turut melihat penerbitan kesusasteraan kelompok ini agak perlahan akibat persaingan daripada kesusasteraan antarabangsa serta bahan bacaan berbentuk digital, selain penerbit buku kanak-kanak Malaysia masih diselubungi isu seperti mutu karya dan penerbitan serta dihimpit dengan masalah promosi di samping pemasaran.Seorang lagi Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM, Dr Jamayah Zakaria berkata, kajian yang dijalankan mendapati secara purata, syarikat penerbitan di negara ini menerbitkan antara lima hingga 12 tajuk setahun dengan jumlah cetakan antara 1000 hingga 3000 naskhah.“Perangkaan Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) pula menunjukkan jumlah judul kesusasteraan dalam genre ini yang diterbitkan pada 1980-an adalah 188 judul dan mencapai lebih 2,000 judul pada 1990-an. “Walaupun perangkaan menunjukkan peningkatan, ia masih kurang berbanding jumlah pembaca dalam kategori kanak-kanak dan remaja yang semakin ramai setiap tahun,” katanya ketika melapah Isu Dalam Penerbitan Buku Sastera Kanak-kanak di Malaysia.Pandangan Dr Jamayah berhubung judul kesusasteraan kanak-kanak dan remaja di pasaran ketika ini kurang jati diri dan keaslian kerana disadur daripada karya antarabangsa disokong seorang lagi Pensyarah UPM, Shamsudin Othman, ketika membicarakan Di Mana dan Ke Mana Arahnya Masa Depan Kanak-kanak dan Remaja Malaysia?Pada pengamatannya, setiap kali Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, banyak karya kesusasteraan kanak-kanak dan remaja muncul di pasaran, tetapi malangnya kurang identiti Malaysia kerana bersifat karya terjemahan cerita Cinderella, Arnab dengan Musang, Serigala yang Tamak, cerita keagamaan daripada al-Quran dan kisah nabi yang disadur dari Asia Barat atau cerita terjemahan negara lain.“Di manakah cerita asli Melayu seperti Pak Kaduk, Lebai Malang, Sang Kancil, Hang Tuah, Sultan Alauddin Riwayat Shah, Panglima Awang, Tun Razak, Bangau Oh Bangau atau Bawang Putih Bawang Merah yang turut boleh dijadikan sastera untuk kanak-kanak dan remaja,” katanya.Shamsudin yakin karya kesusasteraan kanak-kanak dan remaja bermutu boleh diperoleh dengan mengolah semula sastera besar tempatan yang baik agar sesuai dibaca oleh golongan pembaca kelompok terbabit.“Jika dilihat di barat, karya besar sasterawan mereka diolah semula, diturunkan arasnya dan dipermudah laras bahasanya agar sesuai dibaca oleh kanak-kanak dan remaja,” katanya.
[Source] [Go Back to Citizen Journalist] [Pump!]
|
|