|
SEPANJANG tahun ini hanya dua karya sastera yang mendapat perhatian daripada orang di luar bidang kesusasteraan, iaitu Badai Semalam karya Khadijah Hashim yang diadaptasi ke teater dan Ombak Rindu (Fauziah Ashari) diangkat ke filem.Badai Semalam yang dipentaskan di Istana Budaya mendapat sambutan dan diiringi dengan Pameran Lukisan Khadijah Hashim: Warna Alam, di samping Bicara Karya Badai Semalam sempena Minggu Seni Kuala Lumpur 2011.\n\n\n\nIni bukan kali pertama karya Khadijah di adaptasi ke bahan tara lain bagi membolehkan orang di luar bidang sastera turut menikmati hasilnya kerana sebelum ini dua karyanya, Mira Edora diangkat ke filem pada 1990, manakala Bicara Hati pada 2004 dengan judul, Pelangi Pagi.\n\n\n\n\n\nPenerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara 1999 ini sentiasa membenarkan pihak mana juga untuk memilih karyanya diangkat ke filem, teater, drama atau diterjemahkan ke bahasa asing, walaupun ada perkara yang ‘mengusik’ jiwanya ekoran perubahan medium.Berbeza dengan sikap sesetengah nama besar dunia sastera tanah air seperti seorang Sasterawan Negara yang melarang karyanya diadaptasi ke teater mahupun filem tanpa ‘sentuhan’ daripadanya, selepas sebuah karyanya diangkat ke filem pada 1982 dianggap gagal menerapkan estetika novelnya.Pengarang novel Ali Setan, Ahadiat Akhashah Khairuddin yang menulis lebih 60 karya bagi memenuhi selera remaja, tidak berdepan masalah apabila novelnya itu diangkat ke filem dengan judul sama kerana kebetulan penerbitnya adalah bapa saudaranya dan beliau turut terbabit sama.Menjadi hak pengarang sama ada untuk memberi kebenaran atau tidak, demi menjaga kepentingan diri, iaitu untuk mendahulukan populariti atau pulangan honororium, tetapi pengarang yang bijak akan membuat percaturan untuk kepentingan kedua-dua aspek itu sejak awal penerbitan karya lagi!\n\n\nDalam kes Ombak Rindu, Fauziah berasa dirinya teraniaya apabila novelnya yang diangkat ke filem mencatat kutipan kasar lebih RM9 juta, tetapi dirinya hanya menerima bayaran RM1,600 daripada penerbit bukunya, Alaf 21 Sdn Bhd.Alaf 21 berbuat demikian kerana mereka menerima RM4,000 daripada penerbit filem, Tarantella Pictures Sdn Bhd, selepas bersetuju dengan jumlah bayaran terbabit kerana penerbit novel tidak menyangka karya yang diterbitkan pada 2000 akan mendapat sambutan hangat apabila difilemkan!Tiada apa yang boleh dilakukan kerana jika tindakan undang-undang diambil sekalipun, keputusan pasti tidak akan memihak kepada Fauziah mahupun Alaf 21 kerana segala-galanya berlangsung menurut lunas undang-undang.Dengan perkiraan ini, Fauziah tidak boleh menuding jari kepada sesiapa dan terpaksa ‘gigit jari’ walaupun filem yang diangkat daripada novelnya itu mengatasi kutipan kasar The Twilight Saga: Breaking Dawn Part 1, pada tayangan hari pertama, iaitu RM750,000!Fauziah tentunya tidak boleh berharap Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) umpamanya untuk membelanya, memandangkan penulis yakin beliau bukan ahli seperti ramai pengarang kreatif popular lainnya dan sesetengah pengarang berjenama kerana lazimnya karya mereka laku di pasaran!Kesilapan Fauziah ialah terlalu ghairah untuk melihat novelnya diterbitkan pada 2002 kerana ketika itu pengarang ini belum punya nama apalagi pengikut sehingga cuai sewaktu menandatangani perjanjian penyerahan hak penerbitan.Ini kesilapan yang paling kerap dilakukan pengarang baru di negara ini kerana mahu segera mencipta nama atau tertekan dengan masalah kewangan, sehingga ada yang sanggup menerima bayaran selepuk dan apabila karya ‘meletup’, mereka penuh kesal seperti cacing kepanasan!Inilah inti pati yang ada dalam Akta Hak Cipta yang perlu diberi perhatian oleh pengarang apalagi yang menjadikan dunia penulisan sebagai kerjaya sepenuh masa kerana ia sebenarnya melindungi hak pengarang, tetapi dengan syarat mereka memastikan hak cipta tidak dikorbankan!Penulis tidak nafikan ada penerbit filem atau drama yang tiada berperi kemanusiaan sehingga sanggup mengangkat novel ke drama tanpa mendapatkan izin pengarang dan penerbitnya terlebih dulu seperti yang menimpa novel, Hartini karya Aziz Afkar.Hartini yang 15 kali diulang cetak dan pertama kali diterbitkan pada 1967, menemui khalayak sastera apabila Creative Enterprise Sdn Bhd mencetaknya semula pada 1994 dan diulang cetak, bermula tahun berikutnya.Tragedi Hartini bermula apabila BNE Studio dan Erma Fatimah mengadaptasi novel Allahyarham tanpa mendapatkan kebenaran walaupun Aziz Afkar hakikatnya masih boleh dikesan, sekiranya ada kesungguhan mencarinya.Dalam wawancara penulis dengan Allahyarham yang disiarkan dalam halaman Sastera, Berita Harian, bertarikh 8 Oktober 2001, `Orang seni mesti belajar hormati pengkarya\', dapat dikesan kekecewaan Allahyarham berhubung perkara terbabit.Tuntutan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 Mac 1995, berkesudahan ditolak dengan kos pada 2006, sebelum Allahyarham Abdul Aziz Afkar @ Hussin Ismail, 56, meninggal dunia akibat penyakit saraf pada 11 Januari 2007.Fauziah perlu menganggap durian runtuhnya adalah pada novel dan bukan filem kerana sudah menerima RM219, 845,09 untuk royalti sepanjang Ombak Rindu dicetak 23 kali dan kehadiran filem itu menjulang semula novel terbabit sehingga masuk dalam senarai novel paling laris di pasaran.Usahlah dipanjangkan lagi kes ini kerana bimbang akan lebih banyak perkara mengaibkan terdedah seperti pendedahan Alaf 21 bahawa novel itu sudah lima kali disunting penyunting kanan, dengan proses susunan semula plot, nilai moral dan kesinambungan bab sebelum diterbitkan pada 2002!
[Source] [Go Back to Citizen Journalist] [Pump!]
|
|