View: 170|Reply: 0
|
Tarbiah berkesan bentuk peribadi, pekerti mulia anak
[Copy link]
|
|
Persefahaman tanggungjawab ibu bapa pastikan proses pembinaan identiti lebih cemerlangSIKAP manusia banyak juga dipengaruhi budaya dan sosial yang dibina dalam proses mereka ditarbiah. Sekiranya sentiasa diajar bermalas-malasan, mereka tidak tahu rajin itu lebih baik. Sekiranya sentiasa diajar bermusuhan, mereka tidak tahu silaturahim itu lebih baik. Bahkan sekiranya mereka diberi kelonggaran untuk tidak menuntut ilmu, mereka tidak tahu belajar itu satu-satunya jalan keluar daripada kesusahan dan kepapaan. Mereka hanya akan menyedari ruginya menjadi jahil apabila mereka jauh ketinggalan. \n\n\n\n Di dalam Islam, perkataan pendidikan atau tarbiah itu antara lain bermaksud suatu pendekatan yang terbaik sekali dalam bertafa\'ul (berinteraksi) dengan fitrah insan dan melaksanakan proses pendidikan melalui tunjuk ajar dan teladan. \n\n\n\n\n Satu teori pendidikan tidak akan sampai kepada matlamat yang dihajati jika ia gagal berfungsi dan tidak berkesan. Keberkesanan itu diukur dengan melihat sejauh mana hasil yang dihajati bertunas dan berkembang dalam diri individu yang dididik. Hasil pendidikan juga dapat dilihat melalui perubahan tingkah laku, tindakan dan hasil pemikiran mereka. Pendidikan yang tidak berkesan bukan saja merugikan tenaga, waktu dan wang, tetapi yang lebih dibimbangi apabila hasilnya bertentangan dengan apa yang dihajati.Walaupun dengan menggunakan cara yang berbeza, tujuan tarbiah cuma satu, iaitu untuk memperelokkan peribadi dan menjadikan seseorang itu tahu membezakan apa yang baik dan buruk, juga yang halal dan haram. Setiap modul tarbiah yang digunakan pula adalah pemangkin untuk menyampaikan ilmu secara tidak langsung. Kehidupan seharian seorang anak yang bermula dengan bangun tidur secara beradab sehinggalah berakhir dengan pelukan dan ciuman sebelum tidur waktu malam penuh dengan modul tarbiah yang akan membina peribadinya kelak.Malangnya, kekangan demi kekangan dalam kehidupan hari ini mengganggu proses tarbiah anak-anak. Ibu bapa bukan lagi menjadi pentarbiah yang konsisten, yang lengkap dengan modul rohani dan jasmani demi mencapai objektif yang digarap untuk kecemerlangan sahsiah anak-anak. Faktor sara hidup yang tinggi terutama menjadi halangan, sehingga kebanyakan ibu turut menanggung beban mencari nafkah dan mempertanggungjawabkan tugas tarbiah anak-anak dengan modul kehidupan seharian kepada pembantu rumah atau penjaga di pusat asuhan. Kalau pun pendapatan seorang bapa sudah cukup untuk menanggung keluarga, ramai pula yang hidup melampaui kemampuan. Justeru, ibu turut menunaikan tanggungjawab seorang bapa untuk mencukupkan segala keperluan. Bahkan ada ibu yang terpaksa bekerja kerana suami tidak mahu menunaikan tanggungjawab itu, suami dipenjarakan, suami hilang dan sebagainya. Yang menjadi mangsa ialah anak yang baru mengenal dunia. Tarbiah yang dibina dengan mempelajari bahawa seorang ibu perlu bekerja dan menunaikan tanggungjawab biologi serta taat sebagai isteri menjadikan anak-anak mengalah dan menjauhkan diri. Mereka anggap mereka bukan tergolong dalam sasaran yang perlu diberi perhatian oleh seorang ibu. \n\n\nDalam konflik tanggungjawab ini, ibu bukanlah satu-satunya insan yang harus dipersalahkan apabila proses tarbiah anak terganggu. Banyak perkara yang harus disemak dan dipertimbangkan. Apabila Islam memberi tanggungjawab yang tidak sama kepada seorang suami dan seorang isteri atau seorang ibu dan seorang bapa dalam sesebuah keluarga, ia bukan bermakna Islam meninggikan atau merendahkan mana-mana pihak. Tanggungjawab seorang suami untuk mencari nafkah dan seorang isteri untuk mengandung, melahirkan serta mentarbiah anak sama penting dan sama payahnya.Justeru, apabila seorang isteri menunaikan tanggungjawab sebagai isteri dan juga suami, yang menjadi masalah ialah apabila suami tidak mampu menunaikan tanggungjawab sebagai suami dan isteri. Sebab itulah ramai yang menggunakan khidmat pembantu rumah untuk menggantikan suami membantu tugas isteri. Akibatnya, tidak semua anak-anak ditarbiah untuk menjadi baik dan tahu membezakan yang halal dan haram.Seorang bapa perlu mengetahui setiap perincian tanggungjawab sebagai pemimpin keluarga. Setiap tugas ada hikmahnya dan setiap amanah ada ganjarannya. Dalam konteks agama, seseorang itu menjadi pemimpin kerana banyaknya tanggungjawab yang harus ditunaikan, bukan banyaknya hak yang harus dituntut. Apabila hakikat ini tidak difahami, maka tugas dan fungsi sebagai bapa menjadi sebaliknya. Daripada menjadikan isteri dan anak-anak sebagai amanah yang harus dijaga dengan baik, mereka menjadikan isteri dan anak-anak sebagai pekerja yang sentiasa dikerah bertugas untuk kepuasan dirinya sebagai ‘ketua’. Hakikatnya, persefahaman antara suami dan isteri amat penting untuk melengkapkan proses pembinaan identiti anak. Gabungan antara akhlak baik yang diwarisi daripada ibu bapa dan ilmu yang dipelajari adalah pertautan yang lengkap untuk menjadikan seorang itu mempunyai sahsiah yang baik. Setiap insan apabila boleh berfikir, mereka perlu insaf bahawa kewujudannya mempunyai matlamat, perjalanannya mempunyai haluan dan hidupnya mempunyai tugas dan tanggungjawab. Justeru, umat Islam selaku sebahagian daripada entiti penting di dalam masyarakat juga tidak boleh lari daripada meningkatkan kesedaran tentang persoalan ini dan seterusnya bingkas bangun memuhasabah diri ke arah mengurus kejayaan hidup di dunia dan di akhirat.
[Source] [Go Back to Citizen Journalist] [Pump!]
|
|
|
|
|
|
|
| |
|