KUCHING - Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng akan menerima elaun perumahan RM72,000 setahun susulan pindaan Ordinan Senarai Awam 1963 (Pindaan 2000), kata Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu. Beliau berkata, memandangkan ketua negeri tinggal di kediaman sendiri, kerajaan negeri mengusulkan agar elaun perumahan itu dibayar kepadanya sama seperti yang dinikmati anggota pentadbiran awam lain. "Elaun sedemikian dilihat perlu bagi penyelenggaraan kediaman beliau," kata Jabu ketika membentangkan usul yang kemudian diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini semalam. Katanya, sejak 19 Disember 2011, Abang Muhammad Salahuddin yang berasal dari Sibu tinggal di kediaman sendiri di Nombor 88, Sri Impian, Kampung Temenggong, Jalan Matang di sini manakala kediaman rasmi Astana diguna untuk majlis rasmi dan sebagai pejabat. Di bawah ordinan itu, beliau turut layak menikmati Privy Purse (perbelanjaan) berjumlah RM215,280 setahun dan Elaun Tugas sebanyak RM152,490 setahun. - Bernama
|