KUANTAN — Seorang penolong penguatkuasa Majlis Perbandaran Bentong hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah tahun ini. Ahmad Razif Abdul Raof, 35, didakwa memperoleh suapan wang tunai RM500 daripada Gow Mor Meng sebagai dorongan supaya tidak menyamannya kerana mengubah suai kedai Mercury Pharmacy miliknya tanpa kebenaran yang merupakan kesalahan mengikut Akta 133, Akta Jalan, Parit dan Bangunan. Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di premis milik Mor Meng di Jalan Ah Peng, Bentong pada pukul 11.45 pagi 16 September 2011. Dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum menurut Seksyen 24 akta yang sama. Tertuduh boleh dihukum dipenjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.— BERNAMA
|