|
CERITA mengenai naga emas dan bebola bercahaya tidak pernah gagal menggamit kunjungan ramai ke Nong Khai, pekan kecil di utara Thailand. Bagi penduduk setempat, fenomena itu ada kaitan dengan kisah naga yang berdiam dalam Sungai Mekong dan sehingga kini kekal mempercayai mitos berkenaan. Wartawan Berita Minggu, Zulkifli Osman mencatatkan pengalamannya berkunjung ke pekan di sempadan Thailand-Laos ini
Fenomena pelik Oktober
NONG KHAI tidak sepopular Bangkok dan Chiangmai, namun tetap mempunyai keistimewaan sendiri dari segi tarikan sejarah, kisah legenda dua naga serta misteri bebola cahaya. Pekan ini terletak kira-kira 700 kilometer dari Bangkok, berlokasi di pinggir Sungai Mekong yang menjadi garisan sempadan Laos dan Thailand.
Setiap Oktober, ramai rakyat Thailand berkunjung ke sini dan berhimpun di sepanjang Sungai Mekong untuk menyaksikan fenomena misteri bebola cahaya dipanggil ‘Bung Fai’ atau bola-bola api naga. Dari permukaan sungai, puluhan bola bercahaya merah jambu menyembur dengan indah seperti sebuah orkestra dipimpin konduktor.
Bebola terbabit `bergantungan’ di udara selama beberapa saat pada ketinggian 20 hingga 30 meter sebelum lenyap dalam kegelapan malam dan berulang lagi beberapa kali. Fenomena luar biasa ini hanya muncul satu hingga tiga hari setahun. Bola api itu muncul begitu saja tanpa bunyi dan asap, kadangkala warnanya merah, merah jambu atau putih.
Legenda tempatan menyebut bola-bola api itu datang dari seekor naga yang berdiam dalam sungai. Bagi ilmuwan, ia hanyalah satu fenomena alam yang dapat dijelaskan oleh sains, muncul akibat pembakaran gas di dasar sungai ketika bumi berada dalam jarak terdekat dengan matahari apabila gas terkumpul di dasar sungai memuncak pada Oktober.
Setiap tahun, paling kurang 300,000 orang, baik rakyat Thailand atau pelancong asing berduyun-duyun ke Nong Khai untuk menyaksikan fenomena semburan bebola yang bersaiz dari sekecil ibu jari orang dewasa sehingga sebesar telur ayam. Kaitan Nong Khai dengan naga tergambar dengan dua patung binatang itu pada gerbang pintu masuk ke pekan ini.
Biasanya ia berlaku pada waktu senja sekitar jam 6 petang hingga 9 malam di kawasan seperti Phon Phisai, Pak Khad, Sung Kom, Sri Chiang Mai dan Bung Kan. Kejadian pelik itu juga menjadi antara tarikan kepada pelancong sebelum melintas sempadan untuk ke Vientiane, ibu negara Laos.
Pekan ini turut mempunyai tarikan sejarah kerana tentera Amerika Syarikat selalu singgah di sini apabila menyeberang Sungai Mekong menggunakan Jambatan Persahabatan untuk berulang alik di antara Thailand dan Laos, negara komunis yang pernah menjadi destinasi rehat dan rekreasi popular tentera Amerika dan kemudian penjajah Perancis.
Walaupun terletak jauh di sebelah utara yang didominasi bukan Islam, ada sebuah masjid kecil terletak kira-kira tiga kilometer dari pekan ini berikutan penghijrahan penduduk Islam dari selatan Thailand selepas berlaku pergolakan di sana.
Kalau dulu amat payah mencari makanan halal di pekan ini, kini sudah ada restoran atau kedai menyajikan makanan Islam walaupun jumlah penganut agama suci itu cuma sekitar 10 keluarga, peratusan amat kecil berbanding kira-kira 40,000 penduduk Nong Khai.
Mereka asalnya dari Narathiwat, Pattani dan Yala dan berhijrah ke sini beberapa tahun lalu. Ada juga warga Pakistan bernama Shtisham Haq yang menjadikan Nong Khai tempat tinggalnya sejak dua tahun lalu dan mencari rezeki dengan membuka kedai makan.
Shtisham Haq, lebih mesra dipanggil Ali Pattani kerana berkahwin dengan wanita wilayah itu berkata, selepas berhijrah dari Narathiwat dan memulakan perniagaannya, agak payah untuk menarik pelanggan bukan Islam kerana sindrom fobia Islam begitu tebal sehingga ke tahap menganggap penganut agama itu sebagai ganas.
“Ternyata tanggapan mereka tidak tepat. Alhamdulillah perniagaan saya semakin maju, apatah lagi kedai ini satu-satunya diusahakan orang Islam di sini,” kata Pengerusi Persatuan Muslim Nong Khai itu yang menaungi kira-kira 40 ahli dan mengusahakan kedai beroperasi dari jam 7 pagi hingga 9 malam itu bersama isterinya, Mariam.
Ali yang fasih bercakap Melayu dalam dialek seperti loghat Kelantan berkata, punca dia sekeluarga berpindah ke Nong Khai disebabkan keadaan di Narathiwat yang selalu bergolak dan harapan besarnya kini untuk membina sebuah masjid di tengah pekan ini.
“Tak sangka pula rezeki di sini sentiasa bertambah. Sebelum menjual makanan, saya berniaga kain di sini tetapi tidak bertahan lama kerana keadaan malam pekan ini lengang. Yang dibuka hanya beberapa kedai makan orang tempatan,” katanya yang turut menjual daging lembu sembelihannya sendiri.
Dia yang memilih pasar harian berhampiran Jambatan Persahabatan untuk berniaga kerana lokasinya turut memudahkan warga Laos beragama Islam berkunjung, gembira dengan layanan penduduk tempatan terhadap umat Islam di situ berbanding pada awal kehadirannya.
“Setiap bulan ahli persatuan berjumpa, antara lain membincangkan program aktiviti kemasyarakatan. Kami jarang dapat bertemu kecuali pada Jumaat kerana duduk jauh antara satu sama lain,” katanya ramah melayan penulis dengan hidangan roti canai bersama kari kambing serta turut menjual nasi beriani dan nasi minyak.
|
|
|
|
|
|
|
| |
|