|
Saya menunggu hingga semua anak menantunya datang. Mereka masih berbual dengan Ustaz Azizan dan dipesan macam-macam perkara sewaktu saya bergerak pulang untuk mengambil pakaian, jam 3 pagi saya sampai di rumah.
Jam 5.30 pagi, Kak Faekah menelefon tiga kali memaklumkan ustaz tenat dan koma. Saya bertanya beberapa kali, betulkah berita ni, sapa yang bagitau kak?
“Ahmad (anak Ustaz Azizan yang menunggu di wad) yang telefon bagi tau, kak dok bersiap nak pi la ni,” jawab Kak Faekah.
“Ahmad tau ka tenat ka nazak tu macam mana, dia reti ka kak?
“Doktor yang bagitau dia... Mendengar itu saya bingkas mencapai seluar, bergegas ke Pulau Pinang dengan Mazlan dan Shahril Rizal, bekas pengiring ustaz yang diarahkan kembali melaporkan diri ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah.
Saya masih berdoa ustaz akan sedar dan mampu dibawa keluar jam 12 tengah hari nanti.
Di wad CCU, ustaz sedang dibantu dengan alat bantuan pernafasan, lebam hitam di kaki kanannya sudah melarat ke sebelah kiri, melepasi lututnya, terlalu pantas dan luar biasa.
“Kakinya sejuk, dia bernafas menerusi mulutnya saja, saya terus berdoa, membaca Yasin dan membisikkan talqin. Dia seperti mendengar dan mengajuk. Kelopak matanya berkedip-kedip.
Saya memaklumkan kepada pimpinan dan kawan-kawan dalam Pas Kedah kondisi semasa Ustaz Azizan.
Jam 10.30 pagi panggilan mula masuk meminta pengesahan, benarkah Ustaz Azizan sudah tiada? Ada sebaran SMS dan tulisan di blog ke seluruh negara bahawa ustaz sudah meninggal.
Dari jam 10.30 hingga jam 1 petang, telefon saya tidak berhenti berdering, saling bertindih panggilan yang masuk. Jawapan saya ringkas dan cepat.
“Ustaz masih hidup, tetapi sedang koma, berita kematian itu palsu”.
Jam 2 petang, saya ke surau, solat Zohor dalam fikiran yang bercelaru. Ustaz tak dapat dibawa ke Bukit Minyak, walaupun semua persiapan telah dibuat.
Berita palsu ini pula sengaja dimainkan. Saya membayangkan perasaan anak-anak dan isteri-isterinya. Saya solat dengan En Zahari, Pegawai Daerah Yan.
Dia mendahului saya saya satu rakaat. Saya masukkan handphone yang hampir habis bateri itu ke dalam beg sandang, sesudah berwuduk. Saya sandarkan beg itu di tiang di belakang saf saya dan memulakan solat jamak dan qasar.
Saya berpaling ke belakang sesudah berdoa. Beg sudah tiada. Saya meraba poket, alhamdulillah, dompet yang tidak berduit masih ada, semua duit ada dalam beg, termasuk bekalan yang saya siapkan untuk ambulans dan rawatan di Bukit Minyak.
Saya buntu dan mati kutu. Handphone saya ada dalam beg itu. Saya mengingati apa lagi yang ada. Aduhhh! iPad, pendrive, charger, perfume, pisau belati, buku cek, bil-bil, dan banyak lagi.
Saya memaklumkan kepada Ustaz Hafiz Nordin yang kebetulan ada di situ, dia cuba mendail nombor saya, tiada jawapan. Dia memanggil kawannya di syarikat telekomunikasi untuk menamatkan talian saya, semua urusan itu selesai di tangganya.
Saya ke hulu ke hilir, mencari di sekitar tong sampah, belakang surau, dalam longkang dan tempat-tempat tersembunyi. Tiada!
Hingga malam itu, saya tidak dapat update keadaan semasa Ustaz Azizan. Ada sedikit masa terluang, saya ke Maxis, ambil sim kad baru dan sain kontrak baru untuk dapatkan telefon yang lebih murah.
Saya update di Facebook tentang kehilangan itu, ramai yang simpati dan berdoa.
Sejak hilang pada hari Rabu, saya tak terfikirkan apa-apa tentang beg itu. Duit dan semua isi beg sudah ditakdirkan menjadi rezeki pencuri.
Saya berdoa supaya dia memulangkan apa yang dia tidak perlukan.
Saya halalkan apa yang sudah diambil dan dibelanjakan, kalau dipulangkan handphone dan iPad saya itupun sudah satu rahmat besar buat saya.
Ketika membawa dua anak kecil ustaz ke Chowrasta membeli pakaian dan keperluan diri, saya menerima panggilan daripada seorang wanita. “Adakah encik kehilangan iPad?”
Ya! Saya menjawab.” Saya terkedu, seperti tak percaya bila mendengar beg saya ada padanya. Saya menunggu di Balai Polis Lebuh Keramat, hingga dia datang bersama ibunya.
“Panjang ceritanya encik, adakah encik mahu report polis kes ini?” Saya kata tak perlulah, asalkan saya dapat balik iPad saya.
Saya belanja mereka minum. Beg itu dicuri oleh seorang pemuda penagih dadah, seorang anak muda 27 tahun yang dipelihara oleh ibu tirinya. Ayahnya berkahwin dua, isteri pertama ayahnya memelihara dua anak angkat dengan penuh kasih sayang, tetapi menjadi penagih dadah. Ibu peliharaannya itu jatuh sakit dan tak mampu lagi mengawal anak belaannya itu.
Dia anak isteri kedua ayahnya, tetapi sesekali dikunjungi oleh ‘abangnya’ itu meminta wang atau menumpang tidur.
Pada tengah hari hari Rabu lalu, ‘abangnya’ datang meninggalkan sebuah beg berwarna coklat, katanya beg itu milik kawannya.
Dia kurang percaya dan mula memeriksa beg itu, dia menelefon saya dengan maklumat yang diperoleh dari iPad saya.
Handphone dan wang tunai sudah lesap, tetapi saya tetap bersyukur.
Saya menghubungi ibu pemuda itu yang sedang sakit, nombor telefon saya ambil dari anak tirinya.
Saya memaklumkan hal anaknya mencuri beg dan saya sudah mendapatkannya semula.
Saya ucapkan terima kasih dan memberi sedikit nasihat dan saya ingin bertemu lelaki berkenaan.
Saya pulang ke rumah selepas lima hari di Pulau Pinang.
Anak saya demam dan isteri saya masih di klinik, sakit perut, Ustaz Azizan masih terlantar, anak-anaknya, isteri-isterinya saya sudah aturkan penempatan dan pergerakan mereka. Moga semuanya bersabar.
* Muhammad Sanusi Md Nor adalah Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak
|
|