|
Graffiti bukan vandal. Graffiti ialah kegiatan menanda, tag, membuktikan, menunjukkan, mempamerkan samada individu atau kumpulan tertentu didinding, benteng, pagar dan sebagainya dengan menggunakan samada tulisan atau lukisan. Graffiti menjadi saluran individu pelukis meluahkan ekspresi. Bangga diri, penghargaan kepada sesuatu, kalimat nasihat, tidak puas hati, kecaman, saranan, politik dan ehwal semasa, bahkan graffiti dianggap oleh pengkaryanya sebagai ‘hiburan yang menjamin nikmat tak terperi hebatnya’. Graffiti adalah percambahan sub budaya baru warga seni rupa kota Kuala Lumpur. Berkembang dengan pesat. Kini terdapat lebih 30 individu/kumpulan yang terlibat aktif. Diantaranya ialah They, PHB klik, The Super Sunday, Thalanjang, Tha B, Medea, Kioue, KOS, Carpet, Some70/90, Streetsoda, VOD, Kurt, Damis, Bibi Chun TLG,Mile09, Snozze TLG, Foner, Pelat, VLT, Mist, Bonks, Lau, ELMS, BTX, BNE, Peng, Anokayer, 2pai, dan TRS. Ada dikalangan pelukis graffiti yang tidak langsung meninggalkan tanda nama pada karya mereka. Perang graffiti di Kuala lumpur semakin kuat bertempur sejak akhir-akhir ini. Masing-masing berebut dinding kosong terutama di sekitar Plaza Imbi, Jalan Imbi, dan sekitar Pasar Seni. Cuma yang agak mendukacitakan ialah ada dikalangan pengkarya graffiti memilih untuk melukis di atas karya orang lain. Bererti lukisan orang dipadamkan untuk melukis graffiti baharu. Seperkara lagi ialah kualiti ’tulisan’ atau ’lukisan’ yang tidak mencapai tahap bernilai estetik. Karya sebegini menyenakkan dan mengundang rasa tidak selesa. Seharusnya mereka yang dimaksudkan itu meluangkan masa untuk mempelajari dan melatih diri dengan lebih gigih supaya karya bermutu.
Graffiti seharusnya diiktiraf oleh DBKL, kerana ia memberi nafas tersendiri kepada ruang atau dinding kosong yang lesu. ’Bahasa’ kumpulan pelukis ini sepatutnya didengari dan dikaji. Dengan semangat kerja yang tinggi dan motivasi efektif sahaja menjadikan pelukis graffiti berjaya melahirkan sesebuah karya. Mereka menghasilkan karya seni yang indah dan menghidangkan secara percuma kepada khalayak. Mereka bukan mata duitan.
|
|