SEORANG ibu, Ally Labar menunjukkan seekor aligator yang ditangkap oleh pasangan suami isteri, Ben dan Louann Williams kepada anak perempuannya di Jacksonville, Florida kelmarin.- AP
MIAMI - Seorang lelaki, Ben Williams sudah lama memburu aligator dan pernah mencatat antara 10 tangkapan terbesar di negeri Florida. Aligator merupakan sejenis reptilia menyerupai buaya yang hidup di sungai dan tasik di beberapa buah negeri di Amerika Syarikat (AS) termasuk Florida. Kelmarin, Williams dan isterinya, Louann terserempak dengan seekor aligator gergasi di Tasik George di negeri ini. "Kami melihat aligator jantan itu timbul di permukaan air seperti batang balak," kata Williams yang berusia 57 tahun. Pasangan itu kemudian menembak haiwan tersebut dan menaikkannya ke dalam bot mereka. Aligator itu mempunyai ukuran panjang 4.2 meter. "Kami mendapat lebih 90 kilogram (kg) daging reptilia itu di samping kulit dan kukunya," ujar Williams. Sebelum ini, mereka pernah menangkap seekor aligator seberat 380kg dengan panjang hampir sama pada tahun 2008. Aligator terpanjang yang pernah ditangkap di Florida mempunyai ukuran 4.3 meter. Reptilia tersebut ditangkap pada November 2010 di Tasik Washington manakala rekod aligator terbesar di AS adalah seberat 473kg. Ia ditangkap di Tasik Oren pada tahun 1989. - Agensi
|