|
TAMPIN – Seorang suri rumah menghadapi detik cemas apabila melahirkan anak di dalam kereta di perkarangan Hospital Tampin, di sini, semalam.
Nurul Huda Abdullah Nanang, 30, selamat melahirkan bayi perempuan seberat 2.65 Kilogram kira-kira jam 8.30 pagi.
Menceritakan detik cemas itu, Nurul Huda yang tinggal di Rumah Rakyat Kuala Ina, dekat sini, berkata, dia tidak menyangka akan melahirkan anak di dalam kereta sebelum sempat memasuki bilik bersalin hospital.
“Saya dijangka bersalin pada 13 Disember tetapi sejak malam tadi saya berasa sakit perut, namun tidak menyangka itu petanda mahu bersalin.
“Kira-kira jam 6.30 pagi tadi saya berasa sakit lagi di bahagian perut dan meminta suami, Zamri Abdul Rahman, 33, menghantar ke hospital,” katanya kepada pemberita di Hospital Tampin, di sini, semalam.
Menurutnya, ketika dalam perjalanan ke hospital, secara tiba-tiba air ketuban pecah dan berlaku kontraksi bersalin.
“Sebaik tiba di perkarangan hospital, saya merasakan kepala bayi sudah mahu keluar dan meminta suami segera memanggil jururawat serta doktor.
“Ketika suami meminta bantuan jururawat, separuh badan anak saya sudah keluar dan saya segera menarik anak keluar dari bukaan rahim,” katanya.
Nurul Huda berkata, sejurus menarik anak keluar, kelihatan tali pusat terbelit di bahagian leher bayinya itu.
“Saya segera membetulkan tali pusat bagi mengelak anak lemas sebelum mendakapnya di dada.
“Hati saya berasa lega sebaik mendengar tangisannya dan segera mengucup dahinya,” katanya.
Ibu kepada tiga anak itu berkata, kejadian berlaku amat pantas dan suaminya turut terperanjat melihat bayi berada dalam dakapannya.
“Suami dan jururawat segera membantu saya memotong tali pusat anak sebelum membawa saya ke dalam hospital untuk rawatan lanjut.
“Alhamdulillah selepas pemeriksaan doktor mengesahkan saya dan anak selamat walaupun bersalin secara sendirian,” katanya.
http://www.sinarharian.com.my/ed ... lam-kereta-1.228868
Last edited by silentwinner on 9-12-2013 01:28 PM
|
|