|
Diterbitkan: Rabu, 14 Mei 2014 12:04 AM
Oleh: KEMALIA OTHMAN
[email protected]
Sharifah Sakinah akui letih dengan tanggapan negatif masyarakat yang sering mencaci dirinya.
PETALING JAYA: Pelakon Sharifah Sakinah menganggap tulisan pada baju T yang sering dipakainya dan beberapa artis bukanlah sesuatu yang biadab sebaliknya sebagai menyokong kempen kecergasan yang dijalankan.
Sakinah atau Syarifah Nurul Sakinah berkata, baju tersebut dibuat untuk memberi kesedaran dan strategi pemasaran bagi menarik lebih ramai pelanggan menyertai kumpulan senaman yang baru ditubuhkannya.
"Ia bukan gimik, pada saya kalau sesuatu perkara itu bagus orang akan ingat dan jika tidak bagus sekalipun orang lagi akan ingat.
"Lebih ramai yang kutuk, bermakna lebih ramai yang sedar tentang fitness saya dan bagi saya ia adalah satu strategi pemasaran sahaja," katanya kepada mStar Online.
Sakinah berkata demikian ketika ditanya tentang kontroversi dan tomahan masyarakat terhadap baju T dengan tulisan yang dianggap menggunakan kata-kata biadab. Ia dikeluarkan di laman Instagram miliknya bagi tujuan promosi.
Antara tulisan berkenaan ialah "jogging sampai kentut", "cantik tak bontot saya" dan "energetic ting tong".
Dalam pada itu, Sakinah berkata dia tidak pernah mengambil peduli tentang kritikan dan tanggapan negatif masyarakat terhadapnya.
"Bohonglah kalau saya kata tidak penat dengan cacian masyarakat tetapi saya tidak kisah dan malas untuk ambil pusing.
"Saya buat tidak tahu sahaja kerana kalau saya melawan nampak saya seperti mereka terpulang kepada mereka untuk terima atau tidak," ujarnya.
Sementara itu, Sakinah baharu sahaja selesai penggambaran filem Pekak dan bakal memulakan penggambaran drama bersiri dalam masa terdekat ini.
Credits: mstar.com.my
|
|