Hazama Harap Kontroversi Artis Kpop Dijadikan Pengajaran [size=0.688em]Diterbitkan: Sabtu, 17 Januari 2015 12:30 AM
[size=0.75em]Hazama belum rancang kahwin.
[size=0.813em] (Ubah saiz teks)
PETALING JAYA: Penyanyi Hazama menganggap kontroversi aksi sumbang pada konsert kumpulan pop Korea (Kpop) B1A4 di Kuala Lumpur, pada 10 Januari lalu memberi pengajaran kepada semua pihak yang terlalu mengagungkan penyanyi luar negara.
Hazama atau nama sebenarnya Hazama Ahmad Azmi, 31, berkata, perkara tersebut turut membuka mata ramai terhadap kelakuan buruk penyanyi luar yang dahulu sering dipandang sebagai perkara biasa.
"Bagus juga bila perkara ini berlaku dan ramai pihak yang sedar tentangnya, dahulu lagi penyanyi-penyanyi luar sentiasa diberi kebebasan untuk bersentuhan dengan alasan mereka bukan Melayu dan beragama Islam.
"Kalau artis Malaysia buat tidak betul sedikit sahaja sudah macam-macam cacian diberikan oleh masyarakat. Selain itu, pihak artis luar negara perlu berhati-hati dan memahami sensitiviti masyarakat sebelum mereka datang membuat persembahan di negara ini," katanya.
Hazama berkata demikian ketika diminta mengulas pandangannya terhadap aksi pelukan dan ciuman antara ahli kumpulan K-Pop bersama tiga peminatnya yang bertudung ketika di pentas konsert sehingga mencetuskan kontroversi dan ia menjadi viral dan hangat diperkatakan di laman sosial.
Sementara itu, Hazama berkata, seseorang artis perlu bijak mengawal peminat fanatik agar tidak bertindak melampaui batas.
"Saya pun ada peminat begitu yang ingin memeluk, tetapi saya cepat-cepat larikan diri. Ada juga orang dewasa yang saya anggap seperti ibu saya ingin memeluk kerana minat sangat tetapi saya cakap baik-baik agar tidak menguris hati," ujarnya.
Dalam pada itu, bercerita tentang perkembangan terkini, Hazama mengakui sukar untuk membuat keputusan dalam melancarkan single dengan genre tertentu.
Katanya, dalam keadaan negara yang sering kali dilanda musibah membuatkan dia takut untuk melancarkan lagu-lagu yang berentak rancak dan tidak sesuai dengan keadaan.
"Selepas Anugerah Juara Lagu 29 pada Ahad ini, saya akan fokus pada mencari matarial untuk album kedua saya. Namun buat masa sekarang saya akan keluar single dahulu.
"Sekarang memang agak sukar untuk buat keputusan keluar lagu kerana negara kita sering kali dilanda musibah dan bersedih. Saya tidak mahu kalau keluarkan single rancak tidak sesuai pula dengan keadaan negara," ujarnya.
Selain itu, menyentuh tentang percintaan dengan teman wanitanya, Genervie Kam, Hazaman berkata, dia masih belum merancang tentang perkahwinan buat masa ini.
Katanya, masalah perbezaan agama masih menjadi perkara utama yang membataskan hubungan mereka.
|