|
BEKAS ratu pecut berbasikal trek negara Halimah Mohd Janis mengharapkan bantuan bagi menampung kos rawatan susulan akibat kemalangan jalan raya, 6 Januari lepas.
Halimah, 38, patah tulang tangan kanan dan tulang pelvis telah menjalani dua pembedahan berikutan cedera parah dalam kemalangan berkenaan.
Ketika kejadian, Halimah, yang bekerja di sebuah restoran makanan segera di Bangi, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Kiara, Puchong kira-kira jam 1.30 pagi.
"Saya menaiki motosikal ketika kejadian tapi apabila saya sedar, saya sudah berada di hospital. Mengikut polis dan saksi kejadian, saya mungkin terlanggar kereta bersusun panjang ekoran sekatan jalan raya.
Kecederaan saya juga kritikal dan telah melalui dua pembedahan, satu pada hari kejadian dan satu lagi pada 15 Jan baru-baru ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Halimah yang kini berada di rumah ibunya di Muar, Johor akan menjalani rawatan susulan pada 4 Feb depan, hanya mampu bangun untuk duduk tetapi masih belum boleh menggerakkan kedua-dua belah kakinya.
Katanya, pihak Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) telah menghubungi bertanyakan keadaan beliau dan mungkin akan melawat beliau dalam tempoh terdekat.
"Kalau ikut jangkaan doktor, saya mungkin boleh pulih dalam tempoh tiga hingga empat bulan," katanya, yang mahu pulih segera supaya dapat kembali menjalankan tugas dan membantu pendapatan keluarga.
Halimah adalah atlet berbasikal kebangsaan yang menyertai Projek Jaya 98 dan Projek Gemilang 2001. Pernah memenangi pingat perak acara 200m pecut dan 500m pecut Sukan Sea Kuala Lumpur 2001 serta pingat perak pecut 500m dan gangsa bagi pecut 200m di temasya Sukan Sea Jakarta 1997. - Bernama
|
|