Edited by Ipo at 17-1-2019 07:23 AM
ok..nak tepek satu cerpen simpanan aku yang dah berhabuk, buat sengkang mata...ada juga kat kapasitor.net..
(1) CIK KIA.COM
KERTAS kerja diperiksa buat kali terakhir. Cik Kia tersenyum puas. Kerjanya hari ini sudah selesai. Senyuman diukir lebar. Sesekali cermin mata yang melurut di hidung ditolak dengan hujung jari telunjuk ke atas. Meja dikemas rapi. Tudung yang dipakai dibetulkan sedikit. Dia segera mencapai beg tangan dan kunci motorsikal. Hatinya berbunga riang. Satu lagi kes selesai. Usahanya selama ini menjadi kenyataan. Dia segera menuju ke arah Bandar Baru Bangi. Sekejap tadi dia mendapat panggilan dari penyiasat peribadinya. Wah! Terasa diri seperti VVIP.
Dia sendiri tidak menyangka akan menjadi popular dalam masa sebegitu singkat. Ini semua gara-gara karya yang dihantar untuk suka-suka di sebuah laman web.Bermula dari situ, dia dihujani dengan e-mel dan panggilan telefon sehingga terpaksa mengupah seorang penyiasat persendirian. Dan kini dia berbangga mempunyai ruang pejabat sendiri walaupun tidak sebesar ruang pejabat menteri.
Modenas Kriss laju membelok ke arah sebuah restoran. Laju kakinya melangkah menuju ke sebuah meja yang terletak di luar restoran. Angin kipas berhawa sejuk nyata memberi keselesaan kepada temannya yang sudah lama menunggu.
“Dah lama sampai?” Cik Kia senyum sambil menarik kerusi dan terus duduk. Helmet diletakkan di atas meja. Tudung yang sedikit senget dibetulkan semula. Cermin mata ditarik dan dilap dengan hujung tudung.
“Baru je, so, apa citer? Ada kes baru lagi ke?” Lan hembus asap rokok.Berkepul-kepul mengikut arah kipas angin.
Cik Kia jeling tempat habuk rokok atas meja. Hampir lima batang sudah lunyai di situ.
“Ada satu lagi. Aku nak kau siasat. Any way, sebab satu kes dah selesai. Nah! Ni upah kau!” Cik Kia sengih. Puas hati dengan tugas Lan.
Lan capai sampul yang dihulur Cik Kia. Dia buka perlahan. Wow!!
“Err..mana kau dapat duit banyak ni?” Lan bulatkan mata sambil memandang Cik Kia yang tersenyum di depan.
“Alah..ambik jelah! Banyak tanya pulak.” Cik Kia sengih lagi.
Lan mula sengih. Macam ni, sepuluh kes pun aku boleh ambik!
Cik Kia mula pesan makanan. Mereka sama-sama menikmati makanan tengah hari itu dengan hati yang puas. Cik Kia puas kerana kesnya telah selesai. Lan pula puas kerana mendapat habuan lumayan dari Cik Kia. Cik Kia sempat menghulurkan sampul baru kepada Lan sambil tersenyum. Lan pula sudah faham senyuman Cik Kia. Mereka membawa haluan masing-masing.
SKRIN komputer riba ditenung lama. Jenuh memikirkan susun atur yang sesuai untuk mencantikkan lagi blognya. Bila idea sudah menjengah otak, laju tangannya menaip dan menukar HTML java script . Sekali lagi dia periksa susun atur gambar dan slot ruangan peribadi setiap pendaftar agar tidak mudah diakses oleh orang yang tidak berkenaan. Ruangan itu hanya boleh diakses oleh ahli berdaftar sahaja.
“Hmm..settle!”Cik Kia mengorak senyum. Lebar.
Kini Cik Kia lega. Sebelum ini segala-galanya diuruskan secara manual. Melayan setiap e-mel dan panggilan telefon yang sudah semestinya mengganggu kehidupan sehariannya. Dengan adanya ruangan itu di blog peribadinya nanti, akan memudahkan urusannya untuk membantu mereka yang serius. Dia tersenyum puas.
Telefon Blackberry berwarna merah mula berdering. Cik Kia intai nama yang tertera di skrin. Private number. Siapa pulak ni? Kalau ahli berdaftar semuanya dia tahu. Siang-siang lagi dia sudah set nama masing-masing dalam senarai.
“Hello..”Cik Kia menjawab tanpa nada perasaan.
“Err..boleh saya bercakap dengan Cik Kia?”
Kedengaran suara lelaki di hujung talian.
“Ya,bercakap. Siapa ni?”
“Boleh kita jumpa?”
“Jumpa? Saya tak kenal awak. Mana boleh jumpa sesuka hati. Awak nak apa?” Cik Kia mula rasa tak sedap hati. Belum kenal apa-apa, dah nak jumpa!
“Err..maaf.Saya Sam. Saya terbaca ruangan Cik Kia dalam blog tu. So, saya ingat nak join tapi segan pulak nak daftar kat situ. Boleh jumpa?”
“Hmm..kalau ikut panduan situ, awak kena daftar dulu. Macam ni..awak daftar dulu sebagai ahli, kemudian kita jumpa” Cik Kia mula beri saranan.
“Oh..okey.Kalau macam tu saya daftar dulu.”
Talian putus.
Cik Kia pandang pula skrin. Sekali lagi dia senyum. Nampaknya semakin ramai yang ingin menjadi ahli berdaftar. Kembang hidungnya bila blog yang dulunya sepi kini menjadi hit bila adanya ruangan itu. Dia tersenyum puas, gara-gara karya yang ditulis hanya untuk suka-suka dan sekadar melepas perasaan di alam maya, kini dia boleh berbangga dengan blog pula. Tidak pernah terlintas sedikit pun.
Dia renung lagi skrin. Cuba mencari apa-apa yang boleh dimasukkan dalam ruangan itu. Panduan yang sengaja diletak di bahagian atas blog sengaja dihighlightkan agar pengunjung laman blognya nanti tidak menyalahgunakan ruangan itu sesuka hati.
Cik Kia tersenyum puas. Dia periksa semua ahli yang berdaftar. Alhamdulillah,hingga ke saat ini, sudah lima kes selesai. Mana ahli yang tidak mengikut garis panduan dan cuba melanggar etika yang telah ditetapkan akan terus disenaraihitamkan. Setakat hari ini, hanya satu kes saja yang menjurus ke arah itu. Semua itu hasil usaha Lan. Dia senyum lagi. Pada mulanya, semua yang dilakukan adalah atas dasar ingin menolong sesama manusia. Tidak sangka perkhidmatannya mula mendapat perhatian walaupun pada mulanya hanya sekadar menolong, kini dia mula menjadikan ruangan itu satu perniagaan yang tidak pernah terfikir olehnya sebelum ini. Hanya bayaran minimum saja dikenakan keatas setiap ahli berdaftar dan jika kes selesai, terpulang pada mereka untukmembayar lagi atau tidak. Dia tidak kisah. Bibirnya mengukir senyum, lega kerana setakat ini mereka berpuas hati dengan perkhidmatannya.
CIK KIA bergegas ke restoran mamak berdekatan dengan rumah Lan. Terkial-kial dia mencari kelibat Lan. Helmet dipegang kemas. Tangan kirinya pula menggenggam sampul surat bersaiz A4. Dia terus senyum bila terpandang seseorang sedang senyum kepadanya di sebuah meja hujung sambil menghembus asap rokok.
“Ada apa kau panggil aku ni? Kes yang kau beri semalam belum start lagi la..”Lan menjentik sisa rokok ke dalam semak.
Cik Kia geleng. “Hoi! Kalau terbakar pokok tu siapa nak jawab?”
Lan hanya sengih. “Ala..setakat habuk rokok tu..tak ada kesanlah!”
Cik Kia mula mengeluarkan sekeping sampul surat dan diletak atas meja. Dia terus panggil pelayan untuk memesan minuman.
“Minum je?” Lan sengih lagi.
“Bankrap la aku kalau kau asyik mencekik je..” Cik Kia mencebik.
Lan sengih lagi. Dia terus buka sampul surat yang terletak atas meja. Ada beberapa helai kertas termasuk sekeping gambar. Mukanya mula berkerut.
“Err..macam familiar je mamat ni..” Lan mengusap dagunya yang ada seketul jerawat.
“Kau kenal ke?” Cik Kia renung Lan.
“Hmm..entah tapi rasanya aku pernah jumpa dia ni..tak pa nanti aku siasat.” Lan letak semula gambar dalam sampul surat bersama kertas lain.
“Dia ni baru daftar tapi dia nak jumpa aku. Aku ingat nak suruh kau siasat dulu,baru aku nak jumpa dia. Kau rasa macam mana?” Cik Kia pandang Lan yang mula mengeluarkan sebatang lagi rokok.
“Aku rasa dia ni padan dengan kau je. Dari segi umur pun..tak banyak beza..”Lan senyum.
Cik Kia mula masam. “Aku serius ni!”
“Alah..kau tu sibuk nak selesaikan kes orang, kes sendiri apa citer?” Lan mula gelak.
Cik Kia mula terfikir. Selama ini dia sibuk menguruskan kes orang lain sedangkan diri sendiri tidak pernah ambil tahu. Ah! Lantaklah! Janji aku bahagia. “Dahlah!Aku nak kau siasat latar belakang mamat ni.” Cik Kia menghabiskan minumannya.
Lan hanya memerhati Cik Kia berlalu pergi setelah segala perbincangan tadi selesai. Patutlah sampai sekarang macam ni..selalu kepoh! Kelam kabut! Baju kurung besar gabak, cermin mata besar, gincu merah menyala, kasut pulak kasut sukan! Tudung bawal memanjang. Memang tak menarik langsung! Lan mula menafsir ciri-ciri yang ada pada Cik Kia, padanya cukup geli hati melihat penampilan bos tak rasminya. Dia gelak sendiri.
JAM sudah hampir lapan malam. Melilau matanya mencari helmet. Habis satu bilik digeledah. Dia cuba mengingati kembali di mana helmetnya. Balik dari berjumpa Lan tadi, dia ke kedai runcit, lepas tu kedai gambar. Sampai rumah, seperti biasa helmet tu diletakkan dekat dengan rak kasut tepi tangga tapi puas dicari. Takkanlah..tadi aku letak kat sini. Mana pulak helmet tengkorak aku ni. Adoi!! Macam mana ni? Aku dah la nak cepat ni!! Dijeling lagi jam di dinding. Sudah hampir lapan suku malam. Dia cari lagi.
“Ah! Lantaklah! Habis pun, aku kena saman je. Malam ni tak boleh missed! Ceramah ustaz hensem tu best!” Cik Kia terus capai sesuatu dari dapur dan terus diletak atas kepala. Hmm..ngam-ngam dengan saiz kepala aku.
Dia terus menunggang motorsikal ke masjid dekat rumahnya dengan harapan tiada apa yang menghalangnya nanti. Keyakinan mesti ada. Setiap malam Jumaat dia tak pernah ketinggalan berjemaah di masjid berdekatan rumahnya. Habis solat Isyak, selalunya ada sesi ceramah dari ustaz jemputan. Jarang dia tunggu lepas solat Isyak tapi bila tersua dengan ustaz yang mengajar di situ secara tak sengaja di tempat letak motosikal, hatinya mula kembang. Tak sangka ustaz muda itu menghulurkan senyuman kepadanya. Maka bertambah rajinlah dia mendengar ceramah.
Motor Modenas Kriss dibawa laju membelah jalan besar sebelum sampai ke masjid. Tiba-tiba motornya terhenti. Bukan rosak tapi sengaja diberhentikan. Matanya tepat memandang ke arah depan di simpang masuk ke arah masjid. Dua orang pegawai polis sedang memeriksa setiap motosikal yang lalu jalan itu.
“Alamak!Macam mana ni? Takkan nak patah balik! Aduh!!” Cik Kia mula menggelabah.Dahinya sudah berpeluh. Baju kurung yang terselak menampakkan betis putihnya ditarik sedikit ke bawah. Otaknya ligat berfikir. Apa alasan yang akan diberi nanti. Sesekali dia meluku kepalanya sendiri. Tu la kau..over confident! Hatinya mula gelisah.
“Berhenti!Sila ke tepi!” Polis itu mula menahan.
Cik Kia semakin menggelabah. Dia segera ke tepi sambil mengheret motorsikal bersama.Dia pandang pegawai polis yang mula mengekorinya ke tepi jalan. Aduh!! Macammana ni!!!
“Bagi lesen!” Polis itu renung Cik Kia tidak berkelip. Bibirnya mula mengukir senyum.
Cik Kia segera menghulur lesen memandu. Sempat dia jeling tag nama di poket baju polis tersebut. Jelas tertera nama. L’STRI.
Peliknya nama? Macam mana nak sebut…Lestari kut..Cik Kia mengagak.
“Nak ke mana ni sampai pakai macam ni?” Polis muda itu jeling Cik Kia yang memakai telekung dan berkain baju kurung. Ditambah lagi dengan aksesori cantik atas kepala.
“Err..saya nak ke masjid depan tu je Encik..” Cik Kia semakin menggelabah. Dijeling jam tangan, sudah hampir lapan setengah malam.
“Cantik topi keledar awak!” Polis itu senyum lagi.
Cik Kia turut senyum sumbing. Faham sangat dengan kata-kata polis tadi. Dia pandang beberapa mat rempit yang ditahan. Masing-masing berbisik sesama sendiri sambil ketawa. Memang dia dah agak, mesti dirinya diketawakan nanti. Aduh!! Tak sangka pula ada sekatan jalan raya. Selalunya jalan clear saja. Hmm..nasib akulah malam ni. Saman pun samanlah!
“Err..saya nak cepat tadi Encik Li..Lestari.” tergagap-gagap Cik Kia menjawab. Memang salahnya.
Pegawai polis itu senyum lagi. Dia pandang rakan setugas yang sedang memeriksa lesen memandu mat rempit.
“Mesti mahal helmet awak ni! Berapa awak beli?” Polis itu mula ketawa.
Cik Kia mula sengih. Perli aku ke apa ni?? Tahu la aku pakai bekas plastik ais krim!Geramnya!!! Teringat tadi, nak cepat punya pasal dia terpaksa ambil bekas plastik ais krim bulat yang masih ada pelekat Magnolia dan terus diletakkan di atas kepala sebagai pengganti helmet.
“Mana cukai jalan awak?”
“Err..cukai jalan? Apa tu encik? Saya tak pernah bayar cukai apa pun!” Cik Kia mula panik.Entah kenapa otaknya mula tidak betul. Dari tadi dia asyik memikirkan ‘helmet’cantiknya.
“Hah!Cukai jalan pun tak tahu?” Polis itu mula pelik. Minah ni betul ke tidak ni? Dahla pakai bekas plastik bulat atas kepala! Sah tak betul minah ni!
Cik Kia geleng. Mukanya pucat.
Polis itu terus membuat gerak tangan menggayakan bentuk cukai jalan untuk motosikal bila melihat Cik Kia terpinga-pinga.
“Cukai jalan tu ada yang bulat dan ada yang empat segi..selalunya diletak kat bawah tempat duduk motor.”
Cik Kia masih terkial-kial memikirkan apa yang dimaksudkan oleh pegawai polis tadi. Bulat? Empat segi? Aduhh!!! Apa benda tu??? Dia cepat-cepat buka tempat duduk dan diangkat ke atas. Memang sah ada sesuatu yang berbentuk empat segi kecil terlekat di situ.
“Tapi yang ni road tax encik..” Cik Kia masih bingung. Keliru.
Polis itu terus ketawa terbahak-bahak. Cik Kia tercengang melihat gelagat polis muda itu yang mula menekan perut menahan ketawa. Mat rempit dan polis satu lagi mula berpaling. Mereka turut sama ketawa. Tinggal tak sampai terguling je lagi.
Lucu sangat ke??? CikKia pula masih tidak mengerti. Betul la…tu kan road tax..itu pun nak gelak??
“Cik adik…road tax tu cukai jalan la! Road tax..bahasa Omputih..dalam bahasa Melayu...cukai jalan! Faham!” Polis gelak lagi. Kali ini semakin kuat.
Cik Kia sengih lagi. Selama ini dia hanya sebut road tax. Dah terbiasa. Macam mana aku tak terfikir cukai jalan pulak. Haru!! Otaknya dirasakan sudah biul.
“Ni..satu lagi..betul ke nama awak ni?” Polis itu masih ketawa.
Cik Kia angguk. Mukanya mula merah menahan malu. Bila menyentuh pasal nama, dia memang tak boleh buat apa-apa. Itulah nama yang diberi ibunya sebaik saja dia dilahirkan ke dunia tiga puluh tahun dulu.
“Tak apalah. Awak boleh pergi. Tak sampai hati saya nak saman awak.” Polis itu menyerahkan semula lesen memandu dan cukai jalan kepada Cik Kia sambil tersenyum.
|