Keunikan keropok lekor Pulau PinangSiapa sangka makanan yang sinonim dengan negeri pantai timur turut diproses di Pulau Pinang.
[size=100%]BALIK PULAU, 27 Mei:Siapa sangka keropok lekor yang merupakan hidangan sinonim bagi negeri di Pantai Timur Semenanjung juga turut diproses di Pulau Pinang.
Dalam sebuah rumah kecil di Kuala Pulau Betong, Balik Pulau, tiga wanita bekerja keras menguli campuran isi ikan, tepung, gula dan garam bagi menyediakan hidangan yang popular di Kelantan dan Terengganu itu.
Salah seorang daripada mereka, Situ Aishah Mohd Said, 58 berkata, tidak ramai penduduk Pulau Pinang yang tahu mereka boleh mendapatkan keropok lekor yang diproses segar di tempat mereka sendiri.
“Biasanya bila sebut sahaja keropok lekor, apa yang bermain di fikiran pasti tentang negeri Terengganu dan Kelantan, namun di sini kami juga memproses makanan yang sama.
“Tidak seperti di Kelantan dan Terengganu, perniagaan kami hanya dijalankan secara kecil-kecilan. Kami hasilkan 100 keropok bersaiz besar yang dijual dengan harga RM2.50 dan 300 keropok bersaiz kecil berharga RM2.80 untuk paket 10 batang.
“Bagi wanita seperti kami yang juga isteri kepada nelayan di sini, industri kecil-kecilan seperti ini membantu kami menjana pendapatan tambahan walaupun tidak banyak untung,” katanya.
Menurutnya, kadang kala dia menerima tempahan daripada ekspo atau majlis yang mana pengeluaran mencecah 1,000 keropok sehari.
“Ada pelanggan memberitahu kami terdapat perbezaan keropok Pulau Pinang berbanding di Pantai Timur iaitu dari segi rasa dan teksturnya; di sini isi ikannya lebih dan ia lebih lembut,” jelasnya.
Aishah dan dua lagi rakan kongsinya, Asnah Mat, 63 dan Zuraini Ramli, 47, berkata walaupun pendapatan mereka tidak seberapa, tetapi ia baik untuk mengisi masa lapang disamping menjana pendapatan. Asnah Mat, (kanan) menguli adunan ikan, tepung gula dan garam sebelum ia dipotong dan direbus.Terdapat persatuan yang membantu kebajikan isteri nelayan iaitu Persatuan Wanita Nelayan atau Kunita yang aktif menjalankan perniagaan tradisi secara kecil-kecilan di rumah.
“Kami juga bertuah kerana mendapat bantuan daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang menyediakan peralatan untuk kami,” katanya.
Aishah berkata, walaupun ramai masyarakat di Pulau Pinang tidak tahu mengenai perniagaan mereka, dia turut memiliki pelanggan daripada Sabah dan Indonesia yang membuat tempahan keropok lekor.
Sementara itu, Asnah berkata, walaupun perniagaan mereka hanya kecil-kecilan tetapi dia boleh mengisi masa lapang sambal menjana pendapatan.
“Semua anak-anak kami sudah dewasa dan sudah berdikari sendiri, jadi kami mempunyai masa lapang yang banyak,” katanya.
Memulakan hari seawal jam 6 pagi, proses membuat keropok lekor bermula dengan mengadun isi ikan, tepung, garam dan gula, sebelum doh diuli dan dipotong kecil-kecil untuk direbus.
Dalam pukul 11 pagi, kerja memproses itu siap dan ia sedia dijual pada jam 3 petang di gerai Kunita berhampiran.
TRP
|