Demikian luahan sayu, Asinah Wan Chik, 55, sambil menyiapkan juadah menu tersebut ketika ditemui wartawan Utusan Malaysia di khemah kecilnya di Kampung Cabang Empat Kundur di sini.
Dia yang kehilangan rumah akibat malapetaka bah kuning Disember tahun lalu berteduh bersama suami, A. R Azmi Kadir, 55, dengan mendirikan sebuah khemah yang hanya diperbuat daripada kanvas di tapak kediamannya di kawasan tersebut.
Di khemah kecil itulah mereka meneruskan kehidupan sejak enam bulan lalu dalam keadaan serba kekurangan.
Asinah yang menyara kehidupan dengan menjual buah tembikai di tepi jalan berhampiran khemah tersebut berkata, dia dan suami terpaksa berdepan cuaca panas dan hujan sepanjang tempoh tinggal di khemah terbabit.
Katanya, meskipun sukar, namun dia tetap bersyukur masih dapat berteduh dan mampu menunaikan ibadah puasa tahun ini dengan sempurna.
“Ramadan tahun ini disambut dalam keadaan serba kekurangan. Cukuplah dapat berbuka dengan telur goreng dan sardin,” katanya.
"Saya harap sangat rumah kekal yang dijanjikan segara dapat disiapkan agar kami dapat menjalani kehidupan baharu yang lebih selesa selepas ini," katanya.
Sementara itu, selain Asinah, terdapat lebih 20 keluarga lain di kawasan tersebut yang mendirikan khemah sementara di tapak rumah masing-masing.
Seperti Asinah mereka juga terpaksa menjalani ibadah puasa dalam keadaan penuh kesukaran terutama apabila berdepan cuaca yang tidak menentu sejak akhir-akhir ini.
Bagaimanapun kebanyakkan keluarga terbabit mengakui selesa tinggai di khemah yang dibina sendiri berbanding berpindah ke kawasan lain.