Pusat gempa 228 kilometer dari pantai Chile. - Foto oleh komonews.com
Powerful Chile quake kills at least five, 1 million evacuated
Santiago: Lima maut akibat gempa bumi berukuran 8.3 magnitud yang melanda Chile pagi tadi dan lebih sejuta orang dipindahkan berikutan pihak berkuasa mengeluarkan amaran berkemungkinan berlakunya tsunami yang boleh sampai hingga ke Jepun.
Gempa itu menyebabkan bangunan di Buenos Aires, Argentina, yang terletak 1,500 kilometer di timur Chile, bergoyang.
Televisyen menunjukkan barangan dalam kedai di Chile berselerakan dengan lantai retak atau jubin pecah.
Menurut Menteri Dalam Negeri Chile, Mahmoud Aleuy, ia adalah gempa bumi kuat yang keenam melanda negara itu dan yang terkuat tahun ini.
Pihak berkuasa mengeluarkan amaran kemungkinan gegaran kuat selepas gempa dan tsunami menyebabkan penduduk dipindahkan ke kawasan tinggi.
Wilayah Choapa di tengah Chile yang paling hampir dengan pusat gempa diisytiharkan zon bencana dan diletak di bawah pemerintahan tentera.
Gempa itu berlaku 228 kilometer dari pantai di utara Santiago dan antara yang mati ialah seorang wanita di bandar Illapel dan lelaki berusia 86 tahun Santiago.
Pusat Amaran Tsunami di Hawaii menyatakan gelombang tsunami boleh berlaku di pantai Chile dengan ombak sehingga tiga meter tinggi.
Tsunami juga boleh berlaku di Polynesia, Hawaii dan California serta ombak lebih kecil sehingga Jepun dan New Zealand.
April tahun lalu, Chile dilanda gempa sekuat 8.2 magnitud membunuh enam orang dan pada Februari 2010, gempa sekuat 8.8 magnitud membunuh 500 orang. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2015 @ 4:45 PM