KUALA LUMPUR - Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM) mendakwa terdapat kira-kira 50 syarikat telah dikenal pasti menggunakan logo halal palsu dalam produk yang dikeluarkan mereka, khususnya produk berkaitan makanan kesihatan. Presiden LPKPM Datuk Seri Saharuddin Awang Yahya mendakwa hasil tinjauan mereka mendapati produk makanan kesihatan yang dijual di pasaran, terutama di sekitar ibu kota dan Kepong, menggunakan logo halal palsu. "Tinjauan di beberapa pasar raya terkenal di ibu kota mendapati ada produk 'bak kut teh' dikategorikan sebagi halal dengan mempunyai logo halal. "Pihak kami menerima enam aduan daripada orang ramai untuk menyemak produk yang ada dalam pasaran bagi memastikan sama ada ia halal atau tidak," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, hari ini. Beliau juga mendakwa terdapat dua syarikat di Selayang bergiat aktif mengeluarkan logo palsu kepada syarikat yang mengeluarkan segelintir produk termasuk produk makanan kesihatan dan kosmetik. Sehubungan itu Saharuddin meminta Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) mengambil tindakan sewajar terhadap syarikat yang terlibat bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku. “Menggunakan logo halal palsu yang tidak pernah diiktiraf dalam apa sahaja aspek adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan denda yang tinggi,” katanya. Beliau berkata pemantauan Jakim amat penting supaya pengguna tidak tertipu dan logo halal digunakan mengikut undang-undang yang ditetapkan. Orang ramai juga perlu lebih berprihatin ketika membeli sesuatu produk dan perlu mendekati bantuan Jakim jika mempunyai sebarang keraguan. Sementara itu, jurucakap Jakim ketika dihubungi Bernama berkata, jabatan itu dan Jabatan Agama Islam Negeri adalah pihak yang berautoriti memberi pengesahan halal terhadap pengeluar produk dan premis. "Adalah satu kesalahan memperdaya atau mengelirukan pengguna dengan mempamer atau menggunakan apa-apa logo dan ungkapan halal seperti penggunaan ayat suci Al-Quran atau sebarang objek berhubung agama Islam sama ada di premis di mana makanan dijual atau pada bekas makanan yang dijual. "Jika betul syarikat tersebut menyalahgunakan logo halal, maka tindakan akan diambil dibawah Akta Perihal Dagangan 2011," katanya. Katanya sebarang produk berkaitan bak kut teh termasuk rempah sup tidak dikategorikan sebagai makanan halal dan orang ramai perlu membuat aduan kepada pihaknya bagi tindakan lanjut.
|
Katanya sebarang produk berkaitan bak kut teh termasuk rempah sup tidak dikategorikan sebagai makanan halal dan orang ramai perlu membuat aduan kepada pihaknya bagi tindakan lanjut.
ADVERTISEMENT