Gambar hiasan
Peniaga kereta akan hantar memorandum kepada Hishammuddin bantah akta baru cermin gelap
Pertubuhan Penjual Auto, Audio, Akesori dan Hawa Dingin Malaysia(AAA) memaklumkan akan menghantar memorandum kepada Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein Selasa ini sebagai bantahan terhadap undang-undang baru penggunaan cermin gelap oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Presiden AAA, Cherrie Lim berkata selepas daripada bengkel khas yang diadakan JPJ pada 3 Jun lalu, pertubuhannya mendapati terlalu banyak kelemahan pada peraturan baru itu yang perlu dikaji semula.
"pertubuhan kita akan bertindak menghantar memorandum bantahan Selasa ini di Putrajaya dan seterusnya di Parlimen.
"Apa yang kita mahu agar isu ini dapat perhatian beliau tentang segala luahan dan kebimbangan. Kami juga menuntut perbincangan dilakukan bersama," katanya pada sidang media di Shah Alam hari ini.
Sementara itu, Exco AAA James Goh berkata keputusan JPP yang menetapkan peratusan penggunaan cermin gelap adalah sesuatu yang mustahil untuk dilakukan.
"Bagi penggunaan cermin gelap atau kita panggil ketelusan cahaya, JPJ menetapkan ia tidak kurang dari 70% untuk cermin depan dan tidak kurang 50% melibatkan cermin lain.
"Asas ketelusan cahaya ini semakin tinggi peratusannya maka semakin cerah cermin kereta itu," katanya.
Goh yang juga turut dikenali sebagai profesor cermin kereta berkata sekiranya JPP tetap meneruskan peraturan baru itu maka bermakna kesemua pengguna kereta di negara ini pasti akan disaman.
"Kenapa saya kata begitu? Beza kereta sekarang dengan kereta dulu, hampir kesemua kereta yang dikeluarkan cerminnya sudah sedia ada gelap sebab itu tiada kertas 'tinted' yang terang dapat lulus pemeriksaan JPJ bagi bahagian hadapan kereta.
Selain itu Goh juga turut menyatakan JPJ dan juga pihak berkaitan seperti Pusat Pemeriksaan Berkomputer (Puspakom) atau Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim) perlu menyelaraskan meter pemeriksaan cermin gelap kerana menurutnya pada masa kini ianya tidak seragam.
Katanya semasa di bengkel khas yang diadakan JPJ, demostrasi dilakukan terhadap enam kereta bagi menguji ketelusan cahaya cermin namun keputusannya juga mengelirukan.
"Kita dapati meter pemeriksaan yang digunakan oleh pihak berkuasa tidak selaras keputusannya, kalau JPJ tunjuk keputusan lain, tiba-tiba Puspakom jadi keliru tentang perkara itu," katanya.
pertubuhan yang mempunyai lebih dari 5,000 peniaga kereta berdaftar di bawah mereka itu berkata mengemukakan beberapa cadangan kepada JPJ.
Goh berkata AAA menuntut agar ketelusan cahaya bagi cermin depan dapat dikurangkan kepada 60% dan cermin lain sebanyak 40%.
"Kita bukan menentang kerajaan tetapi sedaya upaya hendak berkerjasama mematuhi peraturan baru kerana itu kita memohon JPJ mendengar cadangan kami menurunkan sebanyak 10 % untuk cermin depan," katanya.
Beliau berkata sekiranya kerajaan tetap meneruskan peraturan itu maka ia akan memberi kerugian kepada peniaga kereta apabila stok kertas cermin gelap yang sudah dibeli tidak dapat digunakan.
"Ia menyebabkan kerugian kepada peniaga, kerana stock ada tidak boleh digunapakai selain itu kos bagi mendapatkan kertas tinted gelap yang ketelusan cahaya terang juga terlalu tinggi," katanya.
Manakala Lim yang mengulas mengenai bengkel yang diadakan Selasa lalu merasa kecewa dengan layanan diberikan oleh JPJ.
"Kita rasakan bengkel itu mendatangkan apa-apa fungsi dan manfaat kerana mereka tidak mahu mendengar cadangan kami," katanya.
Dakwanya turut berlaku kekecohan ketika hari kedua bengkel itu diadakan bersama peniaga dan NGO .
"Hari pertama bengkel mereka bersama badan penguatkuasa dan hari kedua pula sesi penerangan bersama kami. Sepatutnya mereka tidak membuat keputusan dan dengar dulu saranan kami.
"Namun kami hadir hanya untuk mendengar keputusan mereka dan pada mulanya langsung tidak dibenarkan mengemukakan cadangan sehinggalah ada pertelingkahan sedikit kemudian baru mereka benarkan ," katanya.
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|