Pelajar sesat di Gunung Datuk ditemui selamat REMBAU: Seorang pelajar perempuan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Cawangan Alor Gajah, Melaka yang sesat di Gunung Datuk dekat sini petang semalam dijumpai dalam keadaan selamat malam tadi. Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Johari Ahmad berkata Glausia a/p Galayan, 20, berasal dari Sarawak ditemui pasukan mencari dan menyelamat kira-kira pukul 8.47 malam. "Mangsa dijumpai pada ketinggian kira-kira 263 meter dan dibawa turun kira-kira pukul 11.48 malam," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Beliau berkata mangsa yang cedera di kaki kemudiannya dibawa ke Hospital Alor Gajah. Mangsa dipercayai sesat selepas mendaki gunung itu seorang diri. Dia yang berjaya sampai ke puncak gunung difahamkan sempat menghubungi rakannya dan memaklumkan dia sesat dan gagal menemui jalan keluar. Penuntut itu juga dikatakan menghubungi pihak berkuasa untuk meminta bantuan. Sepasukan 12 anggota bomba bersama kakitangan Jabatan Perhutanan dan anggota polis menyertai gerakan mencari dan menyelamat. Johari mengingatkan orang ramai supaya mengehadkan aktiviti pendakian ketika musim hujan sekarang. Gunung Datuk setinggi 884 meter merupakan antara tarikan pelancongan di Negeri Sembilan. Forum : http://goo.gl/nCDDKm
|
ADVERTISEMENT