Ahmad Maslan ulangi amaran turunkan harga barang
Ahmad memberi amaran kepada peniaga supaya menurunkan harga barangan, jika harga minyak RON95 dan diesel turun pada bulan depan. KUALA LUMPUR, 30 Disember:Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan sekali lagi memberi peringatan kepada peniaga untuk menurunkan harga barangan, berikutan penurunan harga minyak RON95 dan diesel, bermula awal tahun depan. Menurutnya, harga minyak RON95 dijangka turun kepada RM1.90 hingga RM1.95 seliter, menjelang 1 Januari 2015 dan penurunan harga itu turut membabitkan diesel. “Dijangka harga RON95 dan diesel antara RM1.90 hingga RM1.95 seliter, mulai 1/1/2015. “Pengumuman akan dibuat KPDNKK (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan). Harap peniaga-peniaga akan turunkan harga barang!!” kata Ahmad melalui akaun Twitternya, @ahmadmaslan.
Harga minyak RON95 ketika ini ialah RM2.26 seliter, manakala RON97 pula RM0.20 lebih tinggi, iaitu RM2.46 seliter. Sebelum ini, kerajaan mengumumkan penetapan harga runcit untuk petrol RON95 dan diesel mengikut kaedah Pengapungan Terkawal, mulai 1 Disember lalu dan kaedah itu menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM) yang diguna pakai kerajaan sejak 1983, bagi penetapan harga runcit bahan api negara. Secara umumnya, perubahan kos produk petroleum yang dipengaruhi kadar pertukaran mata wang dan harga minyak mentah dunia akan mempengaruhi kaedah Pengapungan Terkawal, menyebabkan harga runcit petrol dan diesel berubah. Melalui formula APM, subsidi dan cukai adalah dua pemboleh ubah yang mempengaruhi penetapan harga runcit RON95 dan diesel. |
ADVERTISEMENT