MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berpendapat pemain Harimau Muda perlu diberi kebebasan memilih pasukan negeri atau kelab masing-masing selepas kontrak mereka tamat dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Beliau berkata pemain wajar diberi pilihan untuk mewakili mana-mana pasukan yang dapat memberikan mereka pendedahan terbaik dalam meningkatkan mutu permainan pemain berkenaan. Walaupun menghormati peraturan terbaharu FAM mengenai perpindahan pemain Khairy berpendapat adalah lebih baik pemain dari skuad kebangsaan itu diberi pilihan. “Itu juga pandangan bekas jurulatih Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee... dia kata kenapa kita nak sekat kalau pemain mahu pergi ke mana-mana pasukan negeri, biarlah mereka pergi ke pasukan terbaik,” katanya ketika diminta mengulas peraturan terbaharu FAM itu. Khairy berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri ‘Business Luncheon’ anjuran Majlis Tindakan Ekonomi Melayu dan Mara di Pusat Konvensyen Sime Darby di sini, semalam. Katanya beliau tidak akan mempertikaikan pendirian FAM itu walaupun berpendapat adalah lebih baik pemain diberi hak memilih pasukan selepas tamat kontrak dengan FAM. sumber:sinar harian
|
ADVERTISEMENT