SKUAD hoki negara terpaksa berpuas hati meraih tempat ketiga pada Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia di New Delhi, India, Ahad lalu. PELUANG ke temasya Sukan Olimpik Rio 2016 tertutup selepas kegagalan skuad hoki wanita negara meraih kedudukan dua terbaik pada Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia (WHL) di New Delhi, India yang menutup tirai Ahad lalu. Malaysia sekadar meraih tempat ketiga dengan menewaskan Thailand 3-0 selepas terdahulu dikecewakan Poland 0-1 hasil jaringan Marlena Rybacha seawal minit ketiga pada aksi separuh akhir di Stadium Nasional Major Dhyan Chand. Ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, Nasihin Nubli Ibrahim mahu melupakan kegagalan itu kerana kagum dengan persembahan cemerlang anak-anak didiknya sepanjang kempen tersebut meskipun tersungkur di pertengahan jalan. "Kami mencapai rekod terbaik iaitu menang lima daripada enam perlawanan termasuk 21 gol dan satu bolos (separuh akhir). Tekanan untuk kami layak ke final cukup tinggi. "Memang semua kecewa apabila kami tewas pada separuh akhir. Ada yang menangis kerana tidak mencapai sasaran walaupun telah memberikan satu persembahan cukup mengagumkan. "Saya kagum dengan semangat pemain untuk bangun dan menang tempat ketiga biarpun mereka sebenarnya kecewa. Ramai anggap Malaysia akan tewas kepada Thailand kerana masalah motivasi tetapi itu tidak berlaku dan kami menang. "Kami tewaskan Rusia yang dianggap pasukan kuat dari Eropah. Malah, kami banyak menguasai permainan pada setiap perlawanan termasuk menentang Poland, namun apakan daya, rezeki bukan milik kami," katanya kepada Kosmo! semalam. Kegagalan The Blue Tigress layak ke final bermakna impian untuk mara buat kali pertama dalam sejarah arena hoki wanita negara ke Separuh Akhir WHL yang bakal diadakan di Argentina, Jun depan terkubur. Bagaimanapun, prestasi cemerlang itu meskipun kecundang, sepatutnya perlu diberikan penghormatan dan nescaya barisan hoki wanita akan bangkit mempertahankan pingat emas pada temasya Sukan SEA di Singapura, Jun depan.
|
ADVERTISEMENT