Gol minit akhir yang menafikan tiga mata buat Real Mulia FC ternyata mengecewakan pengendalinya, Yunus Aliff yang berpendapat pasukannya terhukum dek aksi defensif pemainnya sendiri. Yunus berkata, “Kita telah mengawal permainan dengan baik di babak pertama, menjaringkan gol dan kemudiannya Syamsuri menyelamatkan penalti untuk memastikan kita kekal mendahului. Tapi di babak kedua kita gagal tambah jaringan, pemain beraksi lebih defensif kerana mahu pertahankan kelebihan satu gol, mereka takut dibolosi. “Ini sepatutnya tidak berlaku kerana kelebihan satu gol tidak selamat, kita telah memberi ruang dan kelebihan kepada lawan untuk menekan pertahanan kita dan kita rugi 2 mata berharga. Apapun, kita masih belum tewas dan saya tekankan kepada pemain untuk memberi fokus sepanjang 90 minit permainan,” jelasnya. Pada perlawanan menentang Hanelang, RMFC mendahului pada minit ke-24 menerusi jaringan Wan Aliff Jasmi yang menyempurnakan hantaran Haikal Nazri. Hanelang beroleh peluang menyamakan kedudukan namun sepakan penalti pemainnya diselamatkan Syamsuri pada penghujung separuh masa pertama. Selepas Wan Aliff, Farizzuan Azhar dan Shafizi Zain menyaksikan percubaan mereka gagal menewaskan penjaga gol Hanelang, aksi 30 minit terakhir menjadi milik Hanelang dan mereka berjaya menyamakan kedudukan menerusi rembatan pemain gantian, Zawawi empat minit sebelum tamat permainan. Dengan dua mata, RMFC melonjak satu anak tangga ke tangga keenam Kumpulan A.
|
ADVERTISEMENT